ARTIKEL

Kerajaan Sarawak salur dana bantu sekolah luar bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SPAOH: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Spaoh menerima suntikan dana tambahan berjumlah RM750,000 daripada Kerajaan Sarawak bagi projek pembinaan baharu sekolah berkenaan.

Timbalan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyaluran peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar sentiasa diberikan perhatian.

“Pada awalnya, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta dan dengan tambahan ini, jumlah keseluruhan mencecah RM2.75 juta.

“Kita berharap projek ini dapat dimulakan secepat mungkin demi kebaikan pelajar di Spaoh,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan peruntukan tersebut, di sini.

Tambahnya, walaupun SJKC Chung Hua merupakan sekolah aliran Cina, namun lebih 90 peratus pelajarnya terdiri daripada masyarakat Iban dan Melayu.

“Inilah antara institusi yang kita harap dapat menyemai kefahaman dan perpaduan sejak awal usia, agar pelajar ini dapat membesar dalam suasana saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
“Ini juga selari dengan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier yang turut menyalurkan bantuan kepada sekolah mubaligh serta institusi pendidikan lain,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, bagi tahun ini, Kerajaan Sarawak telah mengagihkan RM20 juta melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada sekolah-sekolah mubaligh di seluruh Sarawak, manakala sekolah bantuan Cina turut menerima perhatian melalui kementerian yang berkaitan.

Jelasnya lagi, dasar yang dilaksanakan bukan sekadar retorik, sebaliknya dizahirkan melalui tindakan dan hasil yang nyata serta dirasai oleh rakyat, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan prinsip inklusiviti serta kesejahteraan menyeluruh.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan sosial di kawasan Bukit Saban.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU