KUCHING: Proses semakan semula perundangan e-dagang negara kini memasuki fasa terakhir apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) terakhir di Kuching, hari ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, sesi berkenaan menutup siri libat urus yang bermula sejak 15 April 2024 dan dijangka berakhir sepenuhnya pada 15 Oktober tahun ini.
“Semua maklum balas yang diterima sepanjang tempoh ini akan dirumuskan untuk dimasukkan ke dalam rang undang-undang baharu.
“Jadi kita harap masa beberapa bulan ini cukup untuk kita bersedia membawa ke parlimen mungkin pada sesi sidang pertama pada Mac tahun depan,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan E-Dagang Bersama KPDN di sebuah hotel di sini, semalam.
Matlamat utama semakan undang-undang adalah untuk memastikan ekosistem e-dagang negara kekal adil, mampan dan responsif terhadap cabaran semasa tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
“Kita mahu kerangka perundangan ini bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi juga adil kepada penjual, penyedia platform, syarikat logistik, malah affiliate yang kini memainkan peranan semakin besar dalam pasaran digital,” jelasnya.
Sepanjang setahun setengah proses kajian semula dijalankan, KPDN turut melantik konsultan bagi membantu merangka kerangka undang-undang berpandukan keperluan kementerian.
“Kita juga membuat penanda aras dengan negara lain, melibatkan kumpulan fokus, sesi temu bual bersama pemegang taruh dan mendapatkan pandangan pakar akademik,” katanya.
“Di Sabah, kita terima aduan sama. Di Sarawak juga, ramai penjual berdepan kesukaran kerana jarak, rangkaian jalan raya serta kekangan penghantaran menyebabkan mereka gagal memenuhi tarikh penghantaran seperti dijanjikan.
“Kelewatan penghantaran bukan sahaja memberi kesan kepada penjual, malah turut menjejaskan reputasi mereka kerana penalti dikenakan oleh platform sekiranya gagal menepati anggaran masa penghantaran,” ujarnya.
Selain isu logistik, Fuziah menekankan dapatan baharu daripada sesi libat urus kali ini iaitu keperluan mengkategorikan semula ejen pemasaran (affiliate).
“Sebelum ini, affiliate dilihat sebagai sebahagian daripada penjual, tetapi hasil maklum balas yang diterima, jelas bahawa mereka beroperasi berbeza kerana bukan pemilik produk.
“Mereka sekadar memasarkan barang pihak lain dalam platform untuk pemasaran,” jelasnya.
Menurut beliau, ada penjual mengadu affiliate tidak mengikut skrip pemasaran atau promosi yang ditetapkan, namun dalam masa sama affiliate juga mendakwa tidak wajar dipersalahkan kerana mereka hanya menjadi perantara jualan.
“Oleh itu, kita sedang meneliti kemungkinan untuk mendefinisikan affiliate sebagai kategori berasingan dalam undang-undang baharu.
Beliau menambah, dengan adanya perundangan yang lebih jelas, semua cabaran termasuk logistik, peranan affiliate, kawal selia platform dan perlindungan pengguna akan diambil kira dalam kerangka baharu ini.
“Kita yakin selepas dimuktamadkan, undang-undang ini akan menjadi asas kukuh kepada pembangunan ekosistem e-dagang negara yang lebih tersusun, berdaya saing dan memberi manfaat menyeluruh kepada semua pihak,” tegasnya.





