BERLIN, Jerman: Kereta api ekspres pertama dalam perkhidmatan baharu yang menghubungkan Berlin dan Paris memulakan perjalanan dari ibu kota Jerman itu pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kereta api itu bertolak dari stesen utama Berlin sejurus selepas tengah hari (1100 GMT) dan dijangka tiba di ibu kota Perancis kira-kira lapan jam kemudian pada 7.55 malam selepas berhenti di Frankfurt, Karlsruhe dan Strasbourg.
Ketua Pegawai Eksekutif Deutsche Bahn, pengendali kereta api kebangsaan Jerman, Richard Lutz, Menteri Pengangkutan, Volker Wissing, dan Duta Perancis ke Jerman, François Delattre, turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu.
“Kerjasama erat Jerman-Perancis adalah tulang belakang kepada Eropah yang bersatu.
“Hubungan langsung baharu antara Berlin dengan Paris ini menjadi simbol kerjasama itu,” menurut Lutz dalam satu kenyataan.
Delattre menyatakan perkhidmatan baharu ini mengukuhkan hubungan erat antara Perancis dengan Jerman serta merapatkan lagi rakyat kedua-dua negara.
Menurut Wissing pula, “ia tentang pertemuan, pertukaran, penyatuan dan persefahaman bersama. Ia adalah tentang persahabatan yang direalisasikan”.
Perkhidmatan baharu ini dikendalikan secara kerjasama antara Deutsche Bahn dengan SNCF Voyageurs, anak syarikat kereta api kebangsaan Perancis, SNCF.
Tiket ditawarkan pada harga bermula daripada €59.99 (AS$63) dan mendapat sambutan yang tinggi, menurut Deutsche Bahn.
Sebelum ini, Berlin dan Paris hanya dihubungkan secara langsung melalui perkhidmatan kereta api malam yang memakan masa sekitar 14 jam perjalanan. – BERNAMA-dpa


