KUALA LUMPUR: Keretapi Sarong 2026 (KS26) edisi ke-10 akan berlangsung pada 16 Sept ini dan diperluas ke 10 bandar di seluruh negara, termasuk tiga lokasi baharu iaitu Padang Besar, Langkawi dan Kuching.
Menurut Bernama, Pengasas Bersama LOCCO Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata program sempena Hari Malaysia itu turut diadakan serentak di Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan. Penambahan lokasi bertujuan membawa mesej perpaduan serta kecintaan terhadap Malaysia kepada lebih banyak komuniti.

Bagi peserta di Lembah Klang, mereka akan berkumpul di 12 stesen permulaan sebelum bergerak bersama menuju destinasi rahsia yang menjadi identiti acara berkenaan. Kuching pula menjadi lokasi pertama di luar Semenanjung yang menyertai Keretapi Sarong, namun penganjurannya ditangguhkan ke Disember depan susulan keadaan jerebu ketika ini.
KS26 turut memperkenalkan Stesen Wanita di MRT Titiwangsa bagi memberi ruang kepada peserta wanita menikmati acara dalam suasana lebih selesa. Penganjur menyasarkan penyertaan 25,000 orang pada edisi kali ini.
Edisi tahun ini turut menggunakan lagu Joget Sarong sebagai lagu tema dengan Sayang Malaysia dipilih sebagai tema KS26. Program itu dimulakan pertubuhan bukan kerajaan Random Alphabet pada 2012 sebelum diambil alih LOCCO pada 2017 dan menghimpunkan peserta yang menggayakan kain sarung ketika menggunakan pengangkutan awam sebagai simbol perpaduan.







