KUALA LUMPUR: Penganjuran Keretapi Sarong 2026 edisi ke-10 di ibu kota baru-baru ini dimeriahkan dengan pelbagai gelagat unik para peserta, termasuk kemunculan seekor kucing jantan berusia enam tahun bernama Tony milik A. Kanmani yang memakai baju bayi.
Kanmani menjelaskan bahawa beliau membawa kucing kesayangannya itu untuk merasai pengalaman acara tersebut kerana lokasi kemuncak di Raintree Plaza, TRX dianggap sebagai tempat yang sesuai dan selamat untuk haiwan peliharaan.

Dalam pada itu, golongan muda memanfaatkan acara tahunan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ini sebagai medan kreativiti santai dengan menggayakan warisan negara tanpa perlu berbelanja besar.
Nur Narisha Nasuhah dan Nurul Hazirah Anis Muhammad Tan antara peserta yang berkongsi keterujaan merasai suasana pesta di dalam gerabak tren sambil menyanyi dan menari bersama-sama peserta lain.
Menurut Bernama, KS26 edisi ke-10 tahun ini turut memperluas penganjuran ke 10 bandar di seluruh negara termasuk Padang Besar, Langkawi dan Kuching bagi membawa konsep tersebut lebih dekat kepada masyarakat di luar Lembah Klang.



