MIRI: Kerja-kerja pembaikan jalan runtuh di simpang Jalan Grand Park dan Jalan Riam Lama hampir siap sepenuhnya, dengan pembukaan semula dijangka pada hujung minggu depan.
Setiausaha SUPP Cawangan Senadin, Jeffery Phang Siaw Foong berkata, operasi kini berada di peringkat akhir selepas kerja-kerja pemasangan saluran paip High-Density Polyethylene (HDPE), penimbusan tanah dan pembinaan bahu jalan dilaksanakan secara berperingkat sejak pertengahan Jun lalu.
“Runtuhan berlaku akibat mendapan pada saluran konkrit bertetulang (RC) sedia ada yang menyebabkan hakisan bahu jalan serta kerosakan struktur.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan pantas sebaik menerima laporan pada 23 April lalu dengan melaksanakan kerja-kerja pemulihan serta pemasangan saluran paip HDPE sementara memulihkan aliran air dari kawasan tadahan hulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan di tapak di Jalan Grand Park dan Jalan Riam Lama di sini petang tadi.
Menurutnya, kerja pembaikan sebelum ini juga terpaksa ditangguhkan kira-kira dalam tempoh tiga minggu berikutan kelewatan penghantaran paip HDPE berdiameter 1.5 meter dari Kuching.
Selain itu, mendapan susulan turut dikesan selepas pemasangan awal dipercayai berpunca daripada kebocoran paip air milik LAKU di laluan sama, yang memerlukan kerja penggalian lebih mendalam dan pembaikan segera oleh pihak berkaitan.
“Situasi menjadi lebih mencabar apabila kerja-kerja perlu dilaksanakan berhampiran utiliti bawah tanah sedia ada seperti paip air utama, kabel telekomunikasi dan elektrik.
“Ini mengehadkan akses jentera ke tapak serta memanjangkan tempoh pelaksanaan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya meningkat jumlah saluran HDPE yang dipasang daripada dua kepada lapan unit berikutan skop kerosakan yang lebih luas.
“Setakat ini, pemasangan paip HDPE disiapkan pada 13 Jun, diikuti kerja penimbusan tanah pada 16 Jun, manakala pembinaan bahu jalan kini hampir siap.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, JKR Miri dan Endaya Construction akan membina semula keseluruhan seksyen terjejas menggunakan saluran konkrit bertetulang baharu yang direka khas bagi menampung risiko mendapan,” katanya lagi.
Reka bentuk tersebut masih lagi dalam semakan JKR dan pembinaan dijangka bermula awal tahun hadapan dengan tempoh siap selama enam bulan.





