KUCHING: Kerja-kerja pembinaan wajar diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Jelasnya, ini kerana penutupan kerja-kerja pembinaan sepenuhnya akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Pemberhentian kerja dalam sektor pembinaan akan menyebabkan pendapatan majoriti pekerja binaan yang lazimnya menerima gaji harian akan terjejas.
“Pengalaman semasa PKP 2020 mendapati ramai pekerja binaan yang tidak mampu untuk membeli makanan dan bergantung kepada bantuan NGO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata penutupan operasi tapak pembinaan akan dilakukan secara bersasar kepada tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP dan terdapat kes positif Covid-19.
Tambahnya pelaksanaan ujian RTK Antigen Covid-19 kepada pekerja binaan setiap dua minggu dengan pembiayaan sepenuhnya atau subsidi oleh kerajaan, akan dikaji dan dipertimbangkan.
Pada masa sama, katanya adalah mewajibkan penggunaan pengangkutan persendirian pekerja ke tapak bina bagi mengelakkan percampuran pekerja binaan dengan komuniti di dalam pengangkutan awam.
“Bagi memenuhi keperluan pengangkutan pekerja, penggiat industri mencadangkan penggunaan bas sekolah untuk mengangkut pekerja.
“Secara tidak langsung, langkah ini berupaya membantu pengusaha bas sekolah yang kini tiada pendapatan,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata para kontraktor dikehendaki menyediakan fasiliti pengasingan pekerja Positif Covid-19, pekerja bergejala, Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) dan Kes Yang Disyaki (PUI) di lokasi lain bagi menghalang jangkitan kepada pekerja lain di tapak pembinaan.
Beliau menambah lanjutan tarikh kuat kuasa Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 2020 (Akta 829) yang telah tamat pada Disember 2020 akan dikaji.
“Bagi memastikan pematuhan, kementerian juga mengarahkan CIDB untuk mempergiatkan lagi pemantauan tapak pembinaan dan mengambil tindakan lebih tegas ke atas semua kontraktor yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Selain arahan tutup tapak, CIDB digesa mengambil tindakan tatatertib yang membolehkan kontraktor tersebut dikenakan penalti dan pendaftaran kontraktor terbabit digantung atau dibatalkan,” katanya.
Sejak permulaan PKP pada 13 Januari sehingga 24 Januari, CIDB telah memeriksa sebanyak 320 tapak pembinaan di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 286 tapak pembinaan didapati mematuhi SOP, manakala lima tapak pembinaan tidak mematuhi SOP dan telah diarahkan tutup.
Tapak pembinaan berkenaan menerima notis berhenti kerja atas sebab tidak mematuhi beberapa SOP yang ditetapkan seperti gagal menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka.

Jurulatih baharu Sarawak United FC
KUCHING: Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais memberi bayangan