ARTIKEL

Jerip ketika menyampaikan surat hak milik tanah kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18, Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Mambong yang disempurnakan oleh Awang Tengah di Dewan Persatuan Biperoh, Kampung Garung hari ini.

Kerja pewartaan tanah NCR di DUN Mambong diteruskan sehingga selesai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Kerja pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong masih giat dijalankan dan akan diteruskan sehingga semua kawasan terlibat selesai diwartakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Jerip Susil berkata, usaha tersebut memerlukan kerjasama erat masyarakat kampung kerana proses dokumentasi dan penyukatan tanah melibatkan pelbagai cabaran serta kekangan.

Menurut beliau, setiap kampung yang terlibat perlu terlebih dahulu menentukan anggaran keluasan tanah yang hendak didokumentasikan sebelum kerja penyukatan dijalankan bagi mengelakkan pertindihan sempadan pada masa hadapan.

“Apabila kita mengadakan dialog, kita memerlukan penduduk kampung untuk menentukan anggaran keluasan tanah yang perlu didokumentasikan kerana kita memerlukan penyukatan dan penentuan sempadan antara satu sama lain.

“Kita tidak mahu pada masa akan datang berlaku percanggahan atau pertindihan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Mambong yang disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Persatuan Biperoh, Kampung Garung, hari ini.

Bagi Seksyen 6, dua buah kampung menerima warta tanah iaitu Kampung Abang seluas 498 hektar dan Kampung Emperoh Karu seluas 943.6 hektar dengan jumlah keseluruhan keluasan sebanyak 1,441.6 hektar.

Manakala bagi hak milik tanah Seksyen 18, tiga buah kampung menerima sijil hak milik tanah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 684 lot melibatkan 864 penerima.

Ia melibatkan Kampung Git sebanyak 236 lot dengan 174 penerima, Kampung Nyiru Grait sebanyak 172 lot dengan 145 penerima manakala Kampung Emperoh Garung sebanyak 249 lot melibatkan 200 penerima.
Dalam pada itu, Jerip yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) berkata, pusat khidmatnya turut mengambil inisiatif membiayai sepenuhnya kos penyukatan tanah tersebut.

“Sejak tahun lalu dan tahun ini, pusat khidmat saya mengambil alih peranan membiayai semua kos penyukatan yang mencecah lebih RM100,000.

“Selepas itu kita akan hantar kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk pengesahan dan pewartaan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18. Itu adalah inisiatif kita bersama-sama, tetapi apa yang penting kita harus bekerjasama,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak tepat yang disebarkan pihak tertentu berhubung usaha kerajaan dalam mengiktiraf hak pemilikan tanah NCR.

“Baru-baru ini kita melihat di media sosial pelbagai fitnah dibuat kononnya kerajaan tidak mengambil peduli usaha ini.

“Proses ini bukan mudah kerana ia rumit dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU