MUKAH: Kerjasama daripada pelbagai pihak dengan Sarawak Plantation Berhad (SPB) amat penting bagi melancarkan urusan dan mencapai matlamat bersama.
Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Plantation Agriculture Development (SPAD), Philip Matau berkata, semua perkara dapat dilakukan dengan mudah sekiranya terjalin hubungan baik antara satu sama lain.


“Perkara paling penting adalah hubungan erat antara SPB dan komuniti setempat.
“Ini kerana, hubungan erat tersebut dapat melancarkan semua perkara yang dilakukan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengerami Ngiling Bidai Gawai Dayak SPB Wilayah Tengah, di Kingwood Resort, di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Philip memberitahu, dengan kerjasama yang terjalin itu, mudah untuk pihaknya memajukan kawasan, terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat sekitar.
Menyentuh mengenai majlis, katanya, ia adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pihak syarikat dan komuniti setempat.
Selain itu, ia adalah untuk menyampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah yang berada di kawasan SPB.
“Bukan itu sahaja, kita juga memberi sumbangan kepada anak-anak yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan ini.
“Tujuannya adalah untuk menjadi perangsang supaya anak-anak lain dapat cemerlang dalam pelajaran mereka.
“Selain pelajaran, kita juga memberi sumbangan-sumbangan lain di bawah program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat ini,” jelasnya lagi.
Pada majlis yang sama, SPB telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada beberapa sekolah.
Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) SLDB No. 1, SK SLDB No. 3, SK Sungai Duan, SK Pengkalan Lobang, SK Bukit Inkerbai, SK Sungai Bayan Ulu dan SK Lubok Bemban.
Selain itu, seramai sembilan orang pelajar cemerlang SPM 2024 turut menerima inisiatif dalam majlis tersebut.



