KUCHING: Kerjasama lebih erat antara Wanita Harakah Islamiah (HIKMAH), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan perlu diperkukuh bagi memperluas usaha memperkasa wanita di seluruh Sarawak.

Pengerusi Wanita HIKMAH, Toh Puan Hayati Ahmat berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyambut baik pelbagai aktiviti yang dilaksanakan pertubuhan itu dan menyarankan supaya jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak terus diperkasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Menurut Toh Puan Hayati, sokongan berkenaan penting memandangkan Wanita HIKMAH mempunyai jangkauan program di seluruh Sarawak, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
“Wanita HIKMAH kini mempunyai 12 cawangan dan mengendalikan 23 majlis taklim yang melibatkan wanita dalam komuniti, selain melaksanakan pelbagai program mengikut tiga zon iaitu Selatan, Tengah dan Utara.
“Antara fokus utama kami ialah melahirkan pemimpin wanita daripada akar umbi, memperkasa kesukarelawanan serta mengukuhkan institusi keluarga menerusi program keibubapaan dan ilmu kekeluargaan,” katanya.
Usaha berkenaan turut diperluas kepada masyarakat pedalaman menerusi aktiviti ziarah golongan sakit dan keluarga kurang berkemampuan, selain program dakwah dan kebajikan secara holistik.
Dalam aspek ekonomi, Toh Puan Hayati berkata Wanita HIKMAH turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, daya usaha dan daya saing wanita bagi membantu mereka memperkukuh taraf kehidupan serta meneroka peluang ekonomi yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier atas sokongan yang diberikan dalam membantu Wanita HIKMAH meneruskan program, aktiviti dan agenda pembangunan wanita di seluruh negeri.



