ARTIKEL

TANDATANGAN… Dr. Sim Kui Hian menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Desmond Douglas Jerukan (kiri) dan Dr. Ednin Hamzah (kanan) di Kuching, malam tadi.

Kerjasama Sarawak, Hospis Malaysia perkukuh penjagaan paliatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerjasama Kerajaan Sarawak dengan Hospis Malaysia bakal meningkatkan lagi standard serta akses penjagaan pesakit paliatif di negeri ini bagi menghadapi permintaan yang dijangka mencecah sekitar 35,000 pesakit menjelang 2030.

Sehubungan itu, Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Desmond Douglas Jerukan serta Ketua Pegawai Eksekutif Hospis Malaysia, Dr. Ednin Hamzah.

Beliau berkata MoU ‘Strengthening Palliative Care in Sarawak’ itu memformalkan komitmen bersama untuk meningkatkan standard penjagaan pesakit paliatif sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara bangsa di Sarawak.

“Sarawak mengiktiraf keperluan penjagaan paliatif yang semakin meningkat dan terus komited untuk memperkukuh perkhidmatan di seluruh negeri.

“Menjelang 2030, keperluan penjagaan paliatif di peringkat negara diunjurkan melebihi 200,000 pesakit, dengan Sarawak dijangka antara negeri yang menghadapi permintaan tertinggi, iaitu sekitar 35,000 pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara Kerajaan Sarawak dengan Hospis Malaysia di Sarawak Club, malam tadi.

Menurutnya, kerjasama itu juga akan meningkatkan latihan dan pembangunan kapasiti tenaga kesihatan.

“Ia juga akan memperkukuh perkhidmatan penjagaan paliatif berasaskan komuniti, khususnya di kawasan pedalaman.

“Selain itu, kerjasama ini turut membangunkan model penjagaan yang mampan mengikut konteks Sarawak serta menggalakkan integrasi penjagaan paliatif lebih awal bagi pesakit yang menghidap penyakit serius,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Dr. Ednin kerana mempercayai Sarawak sebagai rakan kerjasama.

“Lazimnya, apabila sesebuah persatuan profesional mahu melaksanakan sesuatu projek dan mereka berundur, keseluruhan usaha itu turut terhenti.

“Namun, Hospis Malaysia mempercayai bahawa Sarawak boleh menjadi rakan kerjasama yang boleh diharapkan, dan itu merupakan satu permulaan yang baik,” tegasnya.

Beliau turut memuji ramai tenaga muda yang kini terlibat dalam bidang penjagaan paliatif.

“Mereka yang terlibat dalam penjagaan paliatif bukan sekadar wira, tetapi individu yang sangat berani kerana melakukan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh kebanyakan orang.

“Usaha memperkukuh penjagaan paliatif juga selari dengan keutamaan Sarawak terhadap pendidikan dan latihan,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Ednin berkata kerjasama itu merupakan langkah bermakna ke arah memastikan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak, dapat mengakses dan mendapat manfaat daripada penjagaan paliatif.

“Melalui perkongsian kepakaran, pengukuhan latihan serta pembangunan sistem sokongan, kami berhasrat untuk membina perkhidmatan mampan yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.

“Dengan lebih tiga dekad pengalaman dalam penjagaan paliatif komuniti berpandukan bukti, pendidikan dan advokasi, Hospis Malaysia kini menyokong kira-kira 1,500 pesakit dan melatih lebih 800 profesional penjagaan kesihatan serta pelajar perubatan setiap tahun,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya kerjasama antara Hospis Malaysia dan Sarawak ini mengekalkan autonomi kedua-dua pihak dan sah untuk tempoh lima tahun, tertakluk kepada proses semakan atau pembaharuan selanjutnya.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU