MIRI: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan kerjasama strategik dengan Universiti Fudan adalah sebahagian usaha membina negara ke arah autonomi kesihatan dan pendidikan, selain melahirkan tenaga mahir perubatan.
Menurutnya, penyerahan Bangunan Lama Majlis Bandaraya Miri kepada universiti itu untuk dijadikan Pusat Penyelidikan Bersama membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap perkongsian ini.
“Penyerahan bangunan ini adalah tanda keikhlasan dan kepercayaan kita terhadap kerjasama dengan Universiti Fudan.
“Kalau tidak ikhlas, bangunan kerajaan yang tidak digunakan pun kita tidak akan serahkan. Tetapi inilah buktinya bahawa kerajaan Sarawak benar-benar komited,” katanya.
Dr Sim menjelaskan, kerjasama dengan Universiti Fudan dilaksanakan dalam tiga fasa, iaitu penubuhan Pusat Penyelidikan Bersama Universiti Fudan, Sekolah Perubatan Universiti Fudan di Sarawak dan pengembangan kepada Kampus Cawangan Asia Tenggara Universiti Fudan.
Katanya, pusat penyelidikan yang sedang dibangunkan bukan sahaja memfokuskan perubatan integratif, tetapi juga menggabungkan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dalam bidang perubatan.

“Ramai mungkin tidak menyedari betapa pentingnya pusat penyelidikan integratif ini. Ia melibatkan bidang AI dalam perubatan, satu lonjakan besar dalam dunia kesihatan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk menubuhkan sekolah perubatan kerana Sarawak kini berdepan kekurangan lebih 2,000 doktor.
“Kita hanya mampu melahirkan sekitar 150 graduan perubatan setahun. Kalau kita mahu menampung kekurangan ini, mungkin makan masa 10 tahun pun belum tentu cukup.
“Dalam masa sama, penduduk semakin tua, manakala doktor yang ada juga perlu bersara,” ujarnya.
Menurut Dr Sim, Sekolah Perubatan Universiti Fudan di Sarawak amat penting kerana ia bukan sekadar sekolah perubatan biasa malah diiktiraf oleh Malaysian Medical Council (MMC), sekali gus melahirkan graduan yang boleh berkhidmat secara sah di negara ini.
“Kalau kita tidak bertindak sekarang, kita akan berdepan krisis. Bayangkan nanti doktor yang sudah tua masih terpaksa berkhidmat, tangan menggigil ketika memeriksa pesakit.

“Kita perlukan generasi baharu doktor muda untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di Sarawak,” tegasnya.
Tambah beliau, kerjasama strategik dengan Universiti Fudan juga sejajar dengan aspirasi Sarawak menjelang 2025, iaitu memperoleh autonomi kesihatan dan autonomi pendidikan.
“Satu institusi ini sahaja, Universiti Fudan mewakili dua aspirasi utama rakyat Sarawak, iaitu kesihatan dan pendidikan. Inilah yang kita maksudkan dengan ‘nation building’,” katanya.
Dr Sim yakin, dengan pelaksanaan kerjasama berfasa ini, Sarawak akan mampu membina kapasiti sendiri dalam melahirkan tenaga perubatan yang mencukupi.
Ia sekali gus mengembangkan penyelidikan bertaraf dunia dan seterusnya mengangkat negeri ini sebagai hab kesihatan dan pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.

Universiti Fudan yang berpangkalan di Shanghai, China, merupakan antara universiti terkemuka dunia dan termasuk dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.
Ia terkenal dengan kekuatan dalam bidang perubatan, sains hayat, teknologi dan penyelidikan integratif.
Institut Perubatan Integratif Universiti Fudan khususnya memainkan peranan penting dalam menggabungkan amalan perubatan moden dengan perubatan tradisional Cina (TCM), serta menghasilkan pelbagai penyelidikan dan inovasi ubat yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Dengan reputasi globalnya, kerjasama Universiti Fudan bersama Sarawak diyakini memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan perubatan serantau, sekali gus memberi manfaat langsung kepada pembangunan sistem kesihatan tempatan.



