KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah bekerjasama untuk mengangkat dan menyelenggara Taman Pusat Maklumat Pelawat Miri (Taman VICM) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
Menurut STB dalam satu kenyataan, kerjasama itu menggariskan komitmen bersama untuk meningkatkan ruang hijau awam di Miri serta menggalakkan pelibatan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.

“Program Angkat Taman VICM bertujuan menjadikan taman ini sebagai hab komuniti, menggalakkan penduduk untuk menyertai acara dan usaha kelestarian sambil memperkukuhkan reputasi bandar raya Miri sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, berkata pemeteraian MoU antara MBM dengan STB merupakan langkah penting ke hadapan dalam komitmen bersama terhadap matlamat kelestarian.
“Usaha bersama ini mencerminkan dedikasi kami untuk meningkatkan ruang hijau dan mempromosikan tanggungjawab alam sekitar.
“Kami berharap dapat menginspirasi rasa bangga dalam komuniti kami dan mengejar visi kami untuk menjadi Bandar Peranginan Antarabangsa yang Hijau, Pintar dan Mesra Huni,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, berkata kerjasama itu menekankan komitmen STB terhadap kelestarian dan pelibatan komuniti.
“Dengan mempertingkatkan Taman VICM sebagai aset bermakna bagi pembangunan komuniti, kami menyokong Matlamat Pembangunan Lestari 11 (Bandar dan Komuniti Lestari).
“Selain itu, kami juga berharap agar ia mampu memberi kesan positif kepada penduduk dan pelawat,” ujarnya.
Majlis pemeteraian MoU berkenaan telah diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 November lalu.



