MUKAH: Politeknik Mukah (PMU) dengan kerjasama Samling Group of Companies telah melaksanakan Career and Education Guidance Event di SMK Telang Usan dan SMK Marudi baru-baru ini.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar sekolah menengah, lepasan SPM, ibu bapa serta warga pendidik di kawasan pedalaman Baram.
Menurut kenyataan PMU, program dianjurkan bagi memperkenal peluang pendidikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat luar bandar, khususnya pelajar dan ibu bapa yang memerlukan maklumat mengenai hala tuju selepas menamatkan persekolahan.

“PMU turut mempromosikan dua acara utama bertaraf antarabangsa yang bakal berlangsung, iaitu Technology and Innovation International Conference (TECHON 2025) dan International Borneo Innovation Exhibition and Competition (IBIEC).
“Kedua-dua platform ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar, malah turut melibatkan guru-guru sebagai peserta dan pembimbing inovasi, sekali gus menyemarakkan budaya penyelidikan dan kreativiti dalam kalangan warga sekolah,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, kerjasama strategik antara PMU dan Samling ini penting untuk memperluas akses pendidikan tinggi, memperkasa komuniti pedalaman serta membangunkan bakat tempatan melalui kerjasama industri dan institusi pendidikan di luar bandar Sarawak.


