Kerjasama S’wak, Jepun melalui filem

KUCHING: Festival Filem Jepun (JFF) 2019 yang ditayangkan di Kuching memainkan peranan penting dalam mempromosikan persefahaman antara Jepun dan Sarawak melalui filem yang ditayangkan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, JFF yang diadakan di sini selama lapan tahun berturut-turut menjadi satu lagi festival menghiburkan dan dinanti-nantikan penduduk tempatan dan pelancong.

Katanya, bandar Kuching menjadi bandar menarik dan berwarna-warni pada tahun lalu kerana aktif mempromosikan budaya, kembara, alam sekitar, makanan dan festival.

Karim turut menambah, terdapat pelbagai acara antarabangsa dianjurkan bagi menarik lebih ramai pelancong serata dunia termasuk pelancong Jepun.

Beliau berharap rakyat Sarawak hadir menikmati tayangan pada JFF dan ditemani warga Jepun sepanjang festival itu.

Festival Filem Jepun 2019 ditayangkan di Kuching dan Kota Kinabalu pada 3 hingga 6 Oktober ini di GSC CityOne Megamall dan GSC Suria Sabah Mall.

Festival edisi ke-16 mempunyai koleksi filem luas dengan pelbagai genre filem daripada drama kekeluargaan, muzik dan komedi untuk tontonan ramai.

Filem muzikal Farewell Song, Little Love Song dan La La La at Rock Bottom merupakan filem utama ditayangkan pada festival ini.

JFF merupakan sebahagian daripada The Japan Foundation, akan menyambut ulang tahun ke-30 sejak penubuhannya pada 1989.

Suara Sarawak