KUCHING: Klinik Perubatan Valiant merupakan contoh klinik swasta yang membantu pembinaan negara bangsa Sarawak dengan menyediakan sistem penjagaan kesihatan inklusif, menawarkan perkhidmatan 24 jam di kawasan bandar yang membangun.
Terletak di Jalan Pines, Batu Kawa, klinik tersebut dikendalikan oleh enam doktor anak jati Sarawak yang komited menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negeri ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pembukaan klinik ini mencerminkan kerjasama sektor swasta dalam membantu kerajaan memastikan rakyat mendapat rawatan yang sewajarnya.
Beliau turut menghargai peranan doktor klinik tersebut yang memainkan peranan penting dalam membantu komuniti dan kerajaan dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan tanpa mengira waktu.
“Mempunyai klinik beroperasi secara 24 jam ini amat diperlukan kerana kita tidak boleh memberitahu pesakit untuk menunggu rawatan pada keesokan harinya.
“Jadi, kita amat berterima kasih kepada semua doktor swasta ini yang memainkan peranan mereka membantu komuniti dan kerajaan,” katanya ketika merasmikan pembukaan klinik tersebut, hari ini.
Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta ADUN Batu Kawa, turut menyokong usaha klinik tersebut untuk membuka empat lagi cawangan di Sarawak dalam masa terdekat.
“Kerajaan tidak mampu menyediakan semua klinik 24 jam, justeru kerjasama seperti ini adalah penting dalam memenuhi keperluan rakyat.
“Ini bukti bahawa sektor swasta juga melihat pentingnya menyumbang kepada sistem kesihatan yang lebih mampan dan bersedia memenuhi keperluan masyarakat di pelbagai kawasan,” ujarnya.
Menurutnya, perkembangan ini menunjukkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi pembangunan negeri serta komitmen mereka dalam menyokong misi kesihatan yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pemilik Klinik Perubatan Valiant, Dr Alan Png, dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai.



