ARTIKEL

Kerugian RM163 juta akibat penipuan pembelian e-dagang sejak Januari hingga September 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 8,868 kes penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang dengan nilai kerugian RM163 juta dilaporkan sejak Januari hingga September tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata bilangan kes purata tahunan hampir mencecah 10,000 kes dengan jumlah kerugian meningkat setiap tahun iaitu peningkatan sebanyak 55 peratus tahun ini berbanding 2021.

“Sepanjang 2021, sejumlah 9,449 kes penipuan e-dagang dengan kerugian RM73 juta dicatatkan manakala pada 2022 sebanyak 9,258 kes dicatat dengan kerugian RM140 juta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjangkakan berlaku peningkatan ketara dalam bilangan kes-kes penipuan e-dagang di tahun akan datang ekoran peningkatan jumlah platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masyarakat masa kini.

Menurutnya, kajian mendapati penyedia platform e-dagang telah menyediakan prosedur urus niaga yang selamat dan teratur namun kecenderungan mangsa untuk mendapatkan harga yang lebih murah mendorong mereka membuat pembelian terus dengan penjual tanpa melalui platform e-dagang berkaitan.

“Pelaku jenayah penipuan e-dagang menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp serta aplikasi jualan dalam talian untuk mencari mangsa,” katanya.

Ramli turut mengingatkan masyarakat untuk berwaspada dengan cara hanya membuat pembelian melalui platform e-dagang yang mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain.

Selain itu, beliau menyarankan pengguna supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon penjual di pautan https:// semakmule.rmp.gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Mesyuarat mingguan hingga 20 Mac selesai isu padi, beras

KUALA LUMPUR: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu

Fahmi ulang jaminan keselamatan sistem PADU

Kerajaan mengulangi jaminan terhadap keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan dakwaan sistem yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu digodam. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

BERITA TERBARU