KANGAR: Seorang wanita berusia 29 tahun direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes pembuangan bayi di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Rama, Kuala Sanglang, Simpang Empat, pada 19 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu ditahan di sebuah rumah di Simpang Empat pada 2.55 pagi.
Beliau menjelaskan bahawa suspek disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Wanita itu tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil, manakala suaminya berada di sebuah pusat pemulihan dadah.
“Siasatan awal mendapati wanita tersebut dipercayai telah melahirkan bayi perempuan di dalam tandas seorang diri di sebuah rumah di Kampung Permatang Kersek, Simpang Empat, kira-kira 6.30 petang, 18 Jan lepas,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Yusharifuddin menambah bahawa pada keesokan harinya, suspek disyaki pergi ke Kampung Rama dengan sebuah kereta milik rakannya untuk membuang bayi itu.
Bernama pada 19 Jan lepas melaporkan bahawa seorang bayi perempuan yang dibaluti tuala dan diletakkan dalam beg plastik beralaskan kain pelekat ditemukan di hadapan sebuah rumah di Simpang Empat.
Yusharifuddin dipetik sebagai berkata bahawa keadaan bayi itu sihat. — BERNAMA



