SIBU: Hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun menanti seorang wanita berusia 35 tahun dan teman lelakinya, 30, jika disabitkan kesalahan membunuh bayi perempuan berusia tiga bulan di sebuah bilik hotel di Pulau Li Hua, di sini, pada 27 September lalu.
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret No. 2 Sibu semalam atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Onn Kork Chern berikutan kesalahan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut peruntukan undang-undang itu, pesalah yang disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Mahkamah menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu proses pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan menjalani tahanan reman di Penjara Pusat Sibu sementara menunggu prosiding selanjutnya.
Bayi perempuan berkenaan merupakan anak kandung wanita terbabit.



