BETONG: Seorang pemuda yang pernah ditangkap atas kesalahan dadah sekali lagi dicekup bagi kesalahan yang sama dalam satu operasi oleh pihak polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan (DSP) Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.
Menurutnya, lelaki berkenaan sebelum ini pernah diberkas kerana memiliki dadah dan disyaki masih terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin dan methamfetamin.
“Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika disabitkan.
Wan Mohamad Ali menegaskan bahawa pihak polis memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan berkaitan.


