ARTIKEL

Kes kematian pelajar: Tanggungjawab bersama pastikan kesejahteraan anak-anak – PM Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHENZHEN (China): Insiden kematian seorang pelajar sebuah sekolah berasrama di Perak perlu menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai pentingnya tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan anak-anak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau telah berbincang dengan pihak polis dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berhubung insiden itu yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah terjangkau dalam pemikiran beliau.

“Ini soal yang sangat mengganggu kita. Mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita dan mengingatkan kita semua, ibu bapa, sahabat, rakan-rakan, bahawa ini masalah yang harus kita tangani bersama-sama sebagai satu keluarga besar negara Malaysia,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu siasatan dijalankan secara telus dan bebas, bukan hanya bergantung pada saluran jabatan sedia ada, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Anwar berkata siasatan perlu meneliti latar belakang dan faktor yang mencetus kepada kejadian itu, termasuk kemungkinan isu keluarga, hubungan dengan rakan sebaya atau aspek lain.

Beliau turut mempersoalkan aspek pemantauan dan penjagaan pelajar di sekolah berasrama penuh, khususnya apabila pelajar tidak hadir ke kelas atau berada di kawasan seperti bilik ‘sick bay’ (ruang sakit).

“Kalau di sekolah asrama penuh, ikut pengalaman saya, itu dipantau.

Kalau tidak datang sekolah, memang dia di sick bay.

“Kalau di sekolah asrama penuh, ada tempat khas sementara untuk jaga ‘sick bay’ tetapi takkan tidak ada siapa yang jaga ‘sick bay’?” kata beliau.

Bagaimanapun, Anwar meminta supaya maklumat berkaitan insiden itu tidak diperincikan secara berlebihan bagi menghormati keluarga mangsa, sambil menegaskan kepentingan kejadian itu ditangani dengan penuh kepekaan. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU