KUCHING: Kes penipuan di Sarawak mencatat penurunan sebanyak 101 kes, iaitu penurunan 18.3 peratus, pada tahun ini.
Sebanyak 451 kes penipuan dicatatkan bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Mac 2024 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata dari tempoh Januari hingga Mac 2024, sebanyak 451 kes penipuan dicatatkan berbanding dengan 502 kes pada tempoh yang sama pada tahun lepas.
Sementara itu, katanya, jumlah kerugian meningkat sebanyak RM5.1 juta bersamaan 34 peratus iaitu sebanyak RM20.1 juta pada tahun ini berbanding RM15 juta pada tahun sebelumnya.
“Kes penipuan yang banyak dilaporkan di Sarawak adalah e-dagang, iaitu sebanyak 141 kes dilaporkan dengan kerugian RM1.32 juta.
“Ini diikuti dengan kes penipuan pelaburan yang mencatat 52 kes dengan kerugian berjumlah RM11 juta.
“Manakala bagi penipuan pinjaman tidak wujud, sebanyak 49 kes dilaporkan dan kerugian mencapai RM378,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Dari segi tangkapan, Mancha berkata, seramai 193 orang telah ditangkap sepanjang tempoh 1 Januari hingga 23 Mac lalu.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintendan Gabriel Risut dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Superintenden Maria Rasid.





