PARIS: Mahkamah rayuan Perancis menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap ahli politik berhaluan kanan, Marine Le Pen, dalam kes penyelewengan dana Kesatuan Eropah (EU).
Daripada hukuman itu, dua tahun digantung manakala setahun lagi perlu dijalani dengan memakai gelang elektronik. Mahkamah turut melarang Le Pen memegang jawatan awam selama 15 bulan, manakala baki 30 bulan lagi ditangguhkan.
Keputusan itu memberi tamparan besar kepada Le Pen menjelang Pilihan Raya Presiden Perancis tahun depan. Sebelum ini, beliau menyatakan tidak akan bertanding jika diwajibkan memakai gelang elektronik.
Tahun lalu, Le Pen didapati bersalah menyalahgunakan dana EU dan dijatuhi hukuman penjara serta larangan bertanding selama lima tahun sebelum mengemukakan rayuan.
Kes itu membabitkan dakwaan dana Parlimen Eropah antara 2004 hingga 2016 digunakan untuk membayar pembantu parlimen yang sebenarnya bekerja untuk parti National Rally pimpinannya seperti dilapor Bernama.


