Kes positif di Sibu di luar kawalan, merebak ke pusat bandar bukan daripada Kluster Pasai

SIBU: Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew menyifatkan kes positif Covid-19 di Sibu di luar kawalan.

Walaupun sudah 22 hari menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, Sibu masih gagal membendung penularan wabak pandemik itu.

“Masih terdapat banyak kes di Sibu.

“Semalam pada Sabtu Sibu merekodkan 101 kes.

“Cuma 32 kes sahaja berasal daripada Kluster Pasai,” katanya sebentar tadi.

Ini bermakna, tegas Lau, kebanyakan kes dikesan di tempat lain-lain di Sibu.

Menurut beliau, kes dikesan di merata-rata tempat di Sibu, bukan sahaja di rumah panjang.

“Sekarang terdapat kes di semua lapisan masyarakat Sibu.

“Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) merupakan satu-satunya jalan bagi mengurangkan kes dan memutuskan rantaian penularan wabak ini,” tegas beliau.

Lau mengingatkan orang ramai agar tidak ke sana ke sini dengan mengehadkan pergerakan kecuali betul-betul memerlukan.

Sementara itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee turut kecewa lonjakan 101 kes positif Covid-19 semalam (Sabtu) yang dicatatkan oleh Sibu.

“Kes positif di Sibu semalam melonjak ke 101 kes!!! Dari manakah 101 kes tersebut?

“Sebanyak 29 kes masih aktif di rumah panjang manakala 82 kes di sekitar pusat bandar Sibu!,” jelas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu.

Beliau menegaskan bahawa Sibu masih lagi belum dapat lagi memutuskan rantaian jangkitan selagi tidak mematuhi SOP PKP.

“Mohon tidak perlu keluar rumah,” kata Adun Nangka itu sambil berharap warga Sibu terus bekerjasama dengan kerajaan untuk mematuhi SOP PKP seperti yang telah diwarwarkan sebelum ini.