Kes pulih hampir 98 peratus, tiada kematian 23 hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah kes yang sembuh terus meningkat kepada 8,481 atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Lebih memberangsangkan, hari ini juga tidak ada kes kematian dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah maut akibat wabak itu, kekal 121 kes untuk 23 hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hari ini terdapat lima kes sembuh  dan hanya enam kes baharu, dilaporkan.

“Enam kes baharu dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,674 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 72 kes.

“Bagi kes baharu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala dua kes penularan di dalam negara. Semua kes baharu adalah warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi kes penularan tempatan, Dr Noor Hisham menjelaskan ia melibatkan kes saringan di tempat kerja, masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata,sehingga kini hanya dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan masing-masing memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata belum ada lagi kes penularan COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga individu positif setelah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di rumah masing-masing, sejak 10 Jun lepas.

“Ini merupakan tanda awal yang positif dalam pelaksanaan HSO. Namun begitu, ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada kepatuhan terhadap HSO yang ditetapkan,agar tidak berlaku risiko jangkitan di dalam komuniti.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada KKM dan patuh kepada syarat di bawah perintah ini,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 647 kes positif COVID-19 import melibatkan kalangan pengembara termasuk rakyat Malaysia dan pemastautin tetap, direkodkan bagi tempoh 3 April hingga hari ini.

Menerusi perintah HSO, individu yang pulang dari luar negara tidak lagi akan ditempatkan di pusat kuarantin, sebaliknya perlu menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selama 14 hari.

HSO dikuatkuasakan selaras dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun.– BERNAMA

Suara Sarawak