Kes ragut: Dua lelaki berjaya dicekup

KUCHING: Tindakan dua lelaki melakukan kes ragut terhadap di Tebingan Sungai gagal setelah mereka berjaya ditangkap oleh orang awam, hari ini.

Maklumat awal kejadian menyatakan salah seorang suspek tiba-tiba menumbuk dada dan merampas telefon bimbit mangsa, 19, yang ketika itu sedang duduk bersama kawannya di Gloria Jean Cafe kira-kira 3.45 pagi.

Suspek yang cuba melarikan diri bersama rakan sejenayah menggunakan motorsikal namun gagal setelah berjaya ditangkap oleh orang awam yang berada berdekatan kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Gani Awang Din berkata, tangkapan polis dilakukan terhadap kedua-dua sewaktu pihaknya membuat rondaan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3.55 pagi.

“Kedua-dua suspek masing-masing 36 dan 30 itu telah mengakui terlibat dalam kes ragut tersebut.

“Suspek seterusnya ditahan dan kini berada di lokap balai polis Sentral bagi siasatan lanjut dilakukan” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan calar di bahagian dada dan luka di tangan, manakala rakannya mengalami kecederan di pergelangan kaki akibat bergelut dengan kedua-dua suspek semasa kejadian.

Beliau menambah, sebuah motorsikal dipercayai digunakan dalam kes tersebut turut ditahan sebagai rampasan barangan kes.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dua lelaki berjaya ditahan terbabit kegiatan ragut