KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, berhubung isu vaksin COVID-19 selesai secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam Abdul Rashid Ismail, yang mewakili Khairy, memaklumkan kepada mahkamah bahawa antara terma-terma dipersetujui kedua-dua pihak (Khairy dan Lokman) ialah defendan (Lokman) bersetuju untuk memadamkan tujuh hantaran mengandungi video, kapsyen serta foto, dan akan menyiarkan permohonan maaf di akaun Facebook serta Youtube defendan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Pihak defendan juga bersetuju untuk memadamkan pernyataan fitnah dan tidak menerbitkan semula atau berkongsi pernyataan fitnah itu serta bersetuju untuk membayar satu jumlah yang tidak didedahkan sebagai pampasan kepada anak guam saya,” kata peguam itu pada prosiding di hadapan Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee.
Hakim Lee kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.
“Mahkamah menghargai usaha kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes. Alhamdulillah, ia berjaya diselesaikan. Tahniah dan terima kasih,” kata hakim itu.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan tiga hari bermula hari ini bagi perbicaraan kes saman berkenaan.
Sementara itu, peguam Logen Eskander, yang mewakili Lokman, memaklumkan kepada pemberita bahawa permohonan maaf akan disiarkan dalam tempoh 30 hari.
Lokman tidak hadir pada prosiding hari ini.
Pada 25 Januari 2022, bekas Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Januari 2022, selain membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari tahun sama.
Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud, antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.
Plaintif turut mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.
Ketika ditemui pemberita, Khairy berkata beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai hari ini.
“Saya berterima kasih kepada hakim, saya berpuas hati sebab dia (Lokman) nak minta maaf dan akan membayar seperti mana yang dipersetuju,” katanya. – BERNAMA






