ARTIKEL

Kes strok haba boleh meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cuaca panas ekstrem yang berterusan akan mendorong peningkatan jumlah kes strok haba di negeri ini.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Razitasham Safii, Malaysia berisiko mengalami kejadian cuaca panas ekstrem yang lebih kerap dan dalam tempoh panjang.

“Perubahan iklim global menyebabkan kenaikan suhu dunia dan perubahan taburan hujan manakala fenomena El Nino yang berlaku di Lautan Pasifik berkitar setiap dua hingga tujuh tahun turut meningkatkan risiko kejadian cuaca panas melampau.

“Sepanjang tempoh tersebut, akan berlaku peningkatan kes penyakit berkaitan haba seperti strok haba dan kelesuan haba berbanding semasa cuaca normal,” jelas beliau ketika dihubungi Suara Sarawak.

Buktinya, setakat ini, sebanyak 14 kes strok haba dilaporkan yang melibatkan Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Beberapa kategori direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu empat kes strok haba, empat kes kelesuan haba dan enam kes lagi kejang haba.

Menurut Razitasham, orang awam perlu didedahkan tentang gejala strok haba dan langkah persediaan bagi menghadapi fenomena tersebut.

“Kekejangan otot dan kelesuan haba adalah simptom-simptom strok haba dan ia berlaku sekiranya berlaku pendedahan kepada cuaca panas diikuti dengan kehilangan air badan yang banyak,” tambahnya lagi.

Gejala yang paling teruk adalah apabila sistem badan mengalami kegagalan untuk mengawal suhu badan.

Justeru, ia akan membawa kepada meningkatnya suhu badan lalu mengakibatkan strok haba dan keadaan tersebut hendaklah dirawat dengan segera bagi mengelakkan komplikasi atau lebih teruk lagi kehilangan nyawa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan individu berisiko khususnya yang bekerja di lapangan supaya mengawasi gejala tersebut dan berehat di tempat teduh serta minum air untuk memulihkan hidrasi badan sekiranya mengalami simptom berkaitan.

“Gandakan pengambilan air kosong, elakkan minuman berkafein dan beralkohol serta tangguhkan aktiviti sukan, lasak dan mana-mana aktiviti yang melibatkan pendedahan kepada panas terik,” ujar beliau.

Katanya, gunakan pakaian yang longgar dan berwarna cerah khususnya golongan berisiko seperti ibu hamil, bayi atau kanak-kanak di bawah umur lima tahun, pekerja di lapangan, golongan yang tinggal di rumah beratap zink dan tidak memiliki penghawa dingin.

“Orang ramai yang mengalami sebarang masalah kesihatan akibat cuaca panas ini dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik atau hospital yang berdekatan,” katanya lagi.

Justeru itu tambahnya, semua pihak terlibat dalam menangani kesan-kesan El Nino manakala pemantauan kesihatan perlu dipertingkatkan terutamanya kepada golongan berisiko.

“Dengan ini, saya galakan agar semua pihak seperti pihak sekolah, penjaga pusat atau institusi penjagaan warga emas, ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa memantau aktiviti dan tahap kesihatan anak-anak serta semua yang telibat dalam penjagaan golongan berisiko,” kata Dr. Razitasham lagi. 

BERITA LAIN

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.