Kesal tiada liputan acara di Sarawak dari RTM

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sekali lagi menyelar tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia yang tidak membuat liputan acara berkaitan kemasyarakatan di Sarawak.

Karim berkata demikian ketika merasmikan Cabaran Berbasikal Edisi Keenam Samarahan di sini, hari ini apabila acara berkenaan turut tidak mendapat liputan RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia.

“Saya sedih apabila RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia tidak membuat liputan acara ini yang berbentuk kemajuan belia.

“Ini menunjukkan mereka (kerajaan Pakatan Harapan) bermain politik walaupun acara terbabit bukannya bermotifkan politik,” katanya.

Menurut Karim, tindakan RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia adalah salah kerana agensi persekutuan terbabit dimiliki oleh rakyat Malaysia.

“RTM dan Jabatan Penerangan bukan hanya dipunyai PH namun kita (penduduk Sarawak) yang juga rakyat Malaysia.

“Jika tidak mahu ambil visual saya pun tak apa tetapi paparkan muka para peserta dan ketua masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memuji pihak polis dan Jabatan Kesihatan yang masih turun memantau acara terbabit meskipun merupakan agensi persekutuan.

“Saya tabik dengan pihak polis dan petugas kesihatan kerana mengamalkan prinsip umpama peribahasa “dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung”.

“Walaupun dibawah agensi persekutuan, mereka bertugas dengan penuh taat untuk melancarkan acara berbasika ini,” ujarnya.

Katanya, banyak acara sampingan dianjurkan sempena festival terbabit yang fokus kepada pembangunan usahawan dalam kalangan belia.

Suara Sarawak