KUCHING: Seminar Sarawak Lestari Zon Selatan 2025 membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar semakin meningkat, meneruskan kesinambungan dua edisi terdahulu di Miri pada Julai lalu dan Kuching pada 2024.
Bertemakan “Alam Sekitar dan Sumber Asli”, program anjuran Pustaka Negeri Sarawak dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen di New City Grand Ballroom, Hotel Theatre, di sini, hari ini.

Menurut Pustaka Negeri Sarawak, seminar ini berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh advokasi dan kesedaran masyarakat terhadap pembangunan lestari.
“Inisiatif ini menyahut aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan usaha tempatan terus selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari 2030. Selain itu, ia memperkasa kefahaman masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar,” katanya.
Seminar kali ini menumpukan kepada enam SDG utama termasuk Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Tenaga Bersih dan Mampu Milik (SDG 7), Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (SDG 12) serta Tindakan Terhadap Perubahan Iklim (SDG 13).
Program ini menampilkan barisan panel pakar daripada pelbagai agensi untuk berkongsi kepakaran mengenai pengurusan sumber asli, biodiversiti, kelestarian dan strategi memperkukuh pembangunan lestari di Sarawak.
“Antara panel yang terlibat ialah Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran DBKU, Hamzah Morshidi dan Penolong Pengurus Besar (Pengurusan Sumber Lestari) SEDC, Lim Bih Wei. Selain itu, Ketua Bahagian Sumber Mineral dan Geosains, Mitchel Constance George serta Pegawai Penyelidik dari Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak,” jelasnya.
Selain sesi panel, peserta diberi peluang menyertai empat bengkel interaktif yang menggabungkan kreativiti dan pendidikan alam sekitar.
“Bengkel Taman Mini Terarium mengajar peserta membina taman mini dalam bekas kaca menyokong SDG 11, 13 dan 15. Manakala Bengkel Denim Mampan pula mengubah denim lama menjadi beg dan aksesori baharu selaras dengan SDG 8, 12 dan 13,” ujarnya.
Sementara itu, bengkel ketiga memberi pendedahan mengenai pembuatan sabun semula jadi.
“Peserta akan menggunakan bahan seperti minyak kelapa dan madu bagi menyokong SDG 3, 12 dan 14. Manakala bengkel keempat memfokuskan penghasilan lilin daripada lilin soya atau lebah sebagai alternatif lilin parafin selaras dengan SDG 7, 12 dan 13,” tambahnya.
Dengan pendekatan praktikal dan interaktif ini, seminar bukan sahaja mendidik peserta mengenai kepentingan alam sekitar malah memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup lestari.



