ARTIKEL

Laporan menunjukkan seramai 2,579 daripada 25,825 (9.99) murid berumur 5 tahun pada 2026 memohon kemasukan ke tahun satu pada 2027.

Kesediaan Kanak-Kanak Perlu Dinilai Sebelum Masuk Tahun Satu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pendidikan perlu mempertimbangkan pewujudan satu dasar berkaitan tahap kesediaan persekolahan (school readiness) kanak-kanak berusia enam tahun sebelum kemasukan ke tahun satu bagi sesi akademik 2027.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata ketika ini sistem pendidikan negara masih menetapkan kemasukan murid ke tahun satu berdasarkan faktor umur semata-mata tanpa mengambil kira tahap kesediaan kanak-kanak.

“Sekiranya kemasukan ke tahun satu dilaksanakan berdasarkan tahap kesediaan, satu dasar yang jelas perlu diwujudkan termasuk mekanisme penilaian yang sesuai bagi menentukan sama ada kanak-kanak benar-benar bersedia mengikuti pendidikan formal.

“Kalau ada dasar yang mengatakan kemasukan ke tahun satu tidak lagi berdasarkan umur, tetapi berdasarkan kesediaan ke sekolah, maka perlu ada penilaian sebelum mereka masuk ke sekolah,” katanya ketika mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak di KPWK Bangunan BaitulMakmur 2, di sini, hari ini.

Tambahnya, pada masa ini belum terdapat dasar yang menetapkan kemasukan ke tahun satu berdasarkan tahap kesediaan persekolahan, sebaliknya sistem sedia ada masih berasaskan faktor umur tanpa mengambil kira tahap kesediaan kanak-kanak terbabit.

Katanya, pendekatan pendidikan juga perlu kekal berasaskan keperluan kanak-kanak kerana setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza.

“Setiap kanak-kanak berkembang pada kadar berbeza. Mereka yang memerlukan bantuan perlu diberi intervensi, manakala yang menguasai kemahiran tertentu diberikan pengayaan,” katanya.

Mengulas kemasukan murid berusia enam tahun ke tahun satu bagi sesi akademik 2027, beliau berkata perkara itu masih bergantung kepada pilihan ibu bapa dan bukan diwajibkan.

Berdasarkan statistik permohonan setakat 30 Jun 2026, seramai 2,579 daripada 25,825 kanak-kanak berusia lima tahun pada tahun ini memohon memasuki tahun satu pada tahun hadapan.

Jelasnya, jumlah tersebut menunjukkan ibu bapa masih mengambil kira tahap kesediaan anak masing-masing sebelum membuat keputusan.

Bagaimanapun, angka berkenaan masih boleh berubah kerana tempoh permohonan kemasukan tahun satu bagi sesi 2027 masih dibuka sehingga November ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU