ARTIKEL

Keselamatan di rumah untuk OKU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Keselamatan di rumah merupakan keutamaan bagi setiap individu, terutamanya golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Persekitaran fizikal yang tidak diubah suai mengikut keperluan khusus sering kali meningkatkan risiko kecederaan dan kemalangan di dalam rumah.

Dan, bagi memastikan persekitaran tempat tinggal lebih selamat dan mesra OKU, berikut ialah lima tip penting yang boleh dilaksanakan oleh ahli keluarga dan penjaga.

Pasang pemegang sokongan di kawasan penting

Pemegang sokongan atau grab bar boleh dipasang di kawasan yang kerap digunakan seperti bilik air, berhampiran tandas, ruang mandi, laluan masuk serta kawasan tangga.

Kemudahan ini memberikan sokongan tambahan kepada individu kurang upaya, khususnya mereka yang mempunyai masalah pergerakan, keseimbangan atau kekuatan fizikal.

Pemegang yang dipasang dengan kukuh pada dinding dapat membantu seseorang ketika hendak duduk, berdiri atau berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

Di bilik air pula, penggunaan pemegang sokongan amat penting kerana permukaan lantai yang basah dan licin boleh meningkatkan risiko terjatuh.

Kedudukan dan ketinggian pemegang juga perlu disesuaikan dengan keperluan penghuni supaya mudah dicapai dan digunakan dengan selamat.

Pilih jubin atau lantai antigelincir

Pemilihan lantai yang sesuai penting bagi mengurangkan risiko tergelincir dalam kalangan OKU, khususnya mereka yang mempunyai masalah pergerakan atau menggunakan alat bantuan seperti kerusi roda dan tongkat.

Gunakan jubin yang berpermukaan kesat, bertekstur atau mempunyai kemasan kusam, terutama di bilik air, dapur dan kawasan yang mudah basah.

Jubin porselin dan jubin homogen boleh menjadi pilihan kerana tahan lasak, manakala jubin seramik lebih sesuai untuk ruang yang kurang terdedah kepada air.

Di bilik air, penggunaan lantai antigelincir amat digalakkan bagi mengurangkan risiko tergelincir dan kemalangan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta memudahkan pergerakan golongan OKU

Susunan perabot

Susunan perabot seperti meja, kerusi, kabinet dan almari perlu dirancang dengan baik bagi memastikan laluan di dalam rumah sentiasa lapang dan mudah dilalui.

Ruang yang luas tanpa halangan amat penting bagi golongan OKU, khususnya pengguna kerusi roda atau alat bantuan berjalan.

Elakkan meletakkan perabot atau barangan di laluan utama kerana boleh menyukarkan pergerakan serta meningkatkan risiko terlanggar, tersadung atau terjatuh.

Pastikan juga pintu dan laluan ke bilik, tandas serta ruang utama mudah diakses.

Sediakan peralatan keselamatan yang mudah dicapai

Peralatan seperti pengesan asap, penggera kebakaran, lampu kecemasan dan alat pemadam api perlu ditempatkan di lokasi yang mudah dilihat dan dicapai oleh penghuni.

Kedudukannya juga perlu disesuaikan dengan keupayaan fizikal golongan OKU, khususnya pengguna kerusi roda atau individu yang mempunyai masalah pergerakan, bagi membolehkan tindakan segera diambil ketika berlaku kecemasan.

Laluan menuju ke peralatan tersebut juga perlu sentiasa bebas daripada halangan dan peralatan berkenaan hendaklah diperiksa secara berkala bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik.

Pastikan pencahayaan mencukupi dan suis mesra pengguna

Pencahayaan yang baik penting bagi memastikan pergerakan di dalam rumah lebih selamat, khususnya bagi golongan OKU.

Kawasan yang gelap boleh meningkatkan risiko terlanggar, tersadung atau terjatuh, terutama pada waktu malam.

Oleh itu, setiap ruang dan laluan utama, termasuk laluan dari bilik tidur ke tandas tangga serta ruang tamu, perlu mempunyai pencahayaan yang mencukupi.

Penggunaan lampu automatik atau lampu yang dilengkapi pengesan pergerakan juga boleh memudahkan penghuni bergerak pada waktu malam.

Selain itu, suis lampu hendaklah dipasang pada kedudukan yang mudah dicapai. Suis sentuh atau suis yang dipasang pada aras rendah juga boleh digunakan bagi memudahkan pengguna kerusi roda mengendalikan pencahayaan tanpa memerlukan bantuan orang lain.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU