DALAM era digital yang serba canggih ini, kanak-kanak semakin terdedah kepada dunia dalam talian sejak usia yang sangat muda.
Mereka bukan sahaja menggunakan internet untuk hiburan, tetapi juga sebagai medium pembelajaran dan komunikasi.
Namun begitu, perkembangan ini turut membawa cabaran besar, khususnya daripada aspek keselamatan.
Isu keselamatan dalam talian yang melibatkan kanak-kanak perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, terutamanya ibu bapa, demi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika untuk generasi muda.
Laporan UNICEF pada 2021 mendedahkan bahawa satu daripada tiga pengguna internet di seluruh dunia ialah kanak-kanak.
Ini bermakna jutaan kanakkanak mengakses internet setiap hari, menjadikan mereka antara golongan yang paling mudah terdedah kepada risiko seperti buli siber, kandungan tidak sesuai, pemangsa seksual dalam talian, serta penipuan identiti.
Di Malaysia sendiri, kajian oleh CyberSecurity Malaysia menunjukkan bahawa hanya 37 peratus ibu bapa mengawal aktiviti dalam talian anak-anak mereka secara aktif.
Statistik ini membuktikan bahawa masih ramai ibu bapa belum benar-benar memahami bahaya yang wujud dalam dunia siber.
Peranan ibu bapa dalam memastikan keselamatan digital anak-anak amat penting dan tidak boleh dipandang ringan.
Mereka perlu menjadi barisan pertahanan pertama dalam melindungi anak-anak daripada ancaman dalam talian.
Mereka perlu cakna terhadap platform dan aplikasi yang digunakan oleh anakanak, serta melibatkan diri secara aktif dalam memahami kandungan yang mereka akses.
Selain itu, ibu bapa perlu menetapkan had masa penggunaan skrin, mengajar anak-anak tentang kepentingan menjaga privasi digital, dan memantau secara berkala interaksi mereka dalam talian.
Penggunaan perisian kawalan ibu bapa juga sangat membantu dalam memantau dan menyekat akses kepada kandungan yang tidak sesuai.
Lebih daripada itu, ibu bapa perlu mewujudkan komunikasi yang terbuka dan mesra dengan anak-anak.
Anak-anak harus berasa selesa untuk melaporkan sebarang pengalaman yang tidak menyenangkan atau mencurigakan semasa melayari internet.
Hal ini hanya boleh dicapai sekiranya ibu bapa tidak bersikap menghukum atau menekan, sebaliknya mendidik dan membimbing anak-anak dengan penuh empati dan kasih sayang.
Kesimpulannya, keselamatan dalam talian bukanlah tanggungjawab teknologi semata-mata, tetapi memerlukan pelibatan menyeluruh daripada ibu bapa sebagai penjaga utama.
Dalam dunia yang semakin terhubung ini, ibu bapa harus menjadi pendidik digital yang cekap agar anak-anak dapat membesar dalam persekitaran maya yang selamat, sihat dan bermakna.
Dunia digital boleh menjadi ruang yang positif jika kita semua bersatu memastikan keselamatan generasi akan datang.



