ARTIKEL

Dr Veronica Lugah bersama hadirin melepaskan peserta sempena Apron Walk Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, hari ini. Foto Ramidi Subari

Keselamatan makanan keutamaan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan insiden keracunan makanan sebanyak 34.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2024, lebih rendah berbanding kadar kebangsaan 53.67 kes, namun aspek keselamatan makanan terus menjadi keutamaan berikutan perubahan iklim yang meningkatkan risiko pencemaran makanan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Veronica Lugah.

Beliau berkata, data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu merupakan antara petunjuk penting yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merangka penyelesaian berasaskan bukti bagi mengurangkan kejadian penyakit bawaan makanan di negara ini.

Dr Veronica Lugah (tiga kiri) merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, hari ini. Foto Ramidi Subari

“Di Malaysia, pada 2024, kadar insiden keracunan makanan ialah 53.67 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala Sarawak mencatatkan 34.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Berdasarkan data tersebut, kita cuba membina penyelesaian yang tepat dan kos efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Sarawak 2026 di Tebingan Kuching, hari ini.

Menurutnya, penyakit bawaan makanan bukan sekadar menyebabkan sakit perut atau cirit-birit, malah boleh mengakibatkan lebih 200 jenis penyakit termasuk meningkatkan risiko kanser, selain menjejaskan produktiviti, pembelajaran dan ekonomi akibat peningkatan kos rawatan serta kehilangan produktiviti.

Katanya, tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia tahun ini, ‘Daripada Bebanan kepada Penyelesaian: Makanan Selamat di Mana Jua’, menekankan keperluan semua pihak berganding bahu mencari penyelesaian bagi memastikan makanan yang dinikmati orang ramai sentiasa selamat.

Dr Veronica berkata, perubahan iklim kini turut menjadi cabaran baharu apabila suhu yang meningkat mempercepatkan pertumbuhan bakteria, virus dan toksin berbahaya dalam tanah, air serta rantaian makanan.

Sehubungan itu, katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan terus memperkukuh pelaksanaan pelbagai standard keselamatan makanan termasuk pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Beliau berkata, kementerian turut meneruskan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) kepada premis makanan yang memenuhi piawaian kebersihan serta memperluas pemantauan terhadap pengusaha makanan berasaskan rumah bagi memastikan makanan yang dijual kepada pengguna memenuhi keperluan keselamatan.

“Kita mahu memastikan rantaian makanan daripada ladang hingga ke meja sentiasa dilindungi dan selamat untuk semua pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak berkuasa tempatan, pengusaha makanan dan pengguna supaya terus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan dan keselamatan sumber air sentiasa terpelihara.

Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya menjadi pengguna yang lebih peka dengan menyemak maklumat berkaitan penarikan balik produk makanan serta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati premis makanan mengamalkan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU