ARTIKEL

Keselamatan murid keutamaan, CCTV dipasang di lebih banyak sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu salah laku disiplin dan kesejahteraan murid, kata Timbalan Menterinya Wong Kah Woh.

Beliau berkata berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), kes cubaan bunuh diri yang direkodkan pada 2022 ialah 10 kes, meningkat kepada 19 kes pada 2023 dan 30 kes pada 2024, manakala enam kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga September 2025.

Dalam tempoh sama, kes salah laku buli mencatatkan 3,883 kes pada 2022, meningkat kepada 6,528 kes pada 2023 dan 7,681 kes pada 2024, sementara 2,402 kes direkodkan sehingga September 2025.

“Bermula 2025, KPM turut memperkukuh sistem perekodan disiplin dengan memasukkan kategori kesalahan seksual, dan setakat ini, dua kes rogol telah direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien mengenai data salah laku dan disiplin murid.

Wong berkata langkah itu mencerminkan komitmen KPM untuk memantau, mencegah dan menangani isu keselamatan serta kesejahteraan murid secara menyeluruh.

Dalam soalan lain, Larry yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut membangkitkan mengenai keperluan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah bagi menangani salah laku disiplin terutama kes buli.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan murid sebagai agenda utama pendidikan.

“Pemasangan CCTV dilaksanakan sebagai sebahagian strategi berfasa dan berasaskan risiko bagi memperkukuh pengawasan serta mencegah insiden buli dan salah laku di sekolah,” katanya.

Beliau berkata bagi 2025, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di 200 asrama sekolah di bawah KPM.

Selain itu, katanya kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan CCTV secara berfasa di sekolah yang dikenal pasti di seluruh negara.

“KPM turut menerima peruntukan RM10 juta bagi pelaksanaan School Antibullying Framework for Empowerment (S.A.F.E.) sebagai intervensi menangani isu buli di sekolah, termasuk memperkasa guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU