ARTIKEL

BERSIHKAN... Pasukan bomba dari BBP Siburan membersihkan tumpahan minyak di Jalan Kuching-Serian awal pagi tadi.

Kesesakan lalu lintas dan kemalangan beberapa kenderaan akibat tumpahan minyak sawit dibawa lori

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Tumpahan minyak di atas jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan beberapa buah kenderaan dan kesesakan lalu lintas hari ini berpunca daripada tumpahan minyak sawit.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Negeri Sarawak, Henderi Ardimansyah, yang dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, tumpahan tersebut berpunca daripada sebuah lori yang membawa muatan minyak sawit menghala ke Matang.

“Setakat ini, pihak bomba menerima dua panggilan berhubung kejadian untuk membersihkan tumpahan minyak,” katanya.

Terdahulu, pasukan bomba membantu membersihkan tumpahan minyak di atas jalan raya di Jalan Kuching-Serian dan Jalan Satok di sini, awal pagi tadi.

TUMPAHAN… Pasukan bomba dari BBP Padungan membersihkan tumpahan minyak di Jalan Satok pada awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung tumpahan minyak di Jalan Kuching-Serian kira-kira jam 1.01 pagi.

Katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati tumpahan minyak dianggarkan lebih 40 meter.

“Tumpahan minyak tersebut turut mengakibatkan kemalangan beberapa buah kereta.

“Pasukan bomba lengkap dengan peralatan pelindungan diri (PPE) bertindak menabur pasir di kawasan sepanjang jalan untuk mengelak jalan raya licin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baca lain  Kapal MV Tung Sung terbalik, 9 kru hilang

Operasi ditamatkan pada jam 2.50 pagi setelah memastikan keadaan selamat.

Sementara itu, di Jalan Satok, PGO berkata, sepasukan 11 anggota dari BBP digerakkan ke Jalan Satok setelah laporan diterima pada jam 12.57 tengah malam.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati tumpahan minyak dari jejambat Satok menuju ke Jalan Satok yang dianggarkan sepanjang dua kilometer.

“Pasukan bomba bertindak menabur habuk kayu di sepanjang tumpahan tersebut.

“Operasi tamat pada jam 2.34 pagi setelah memastikan keadaan selamat,” jelasnya.

Dalam kejadian yang sama, seorang lelaki mengalami kecederaan dalam kemalangan kendiri di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman.

PGO berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.45 pagi lalu menggerakkan 10 anggota dari BBP Petra Jaya ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kemalangan kendiri didapati melibatkan mangsa berumur 40 tahun yang masih tersepit di dalam kereta tetapi dalam keadaan sedar.

“Seterusnya, PKO BBP Petra Jaya bertindak melakukan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan alatan khas (RTA),” katanya.

Beliau berkata, mangsa seterusnya diserahkan kepada petugas perubatan untuk rawatan selanjutnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU