KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima sumbangan berupa sebuah Defibrilator Luaran Automatik (AED) daripada Kerajaan Sarawak.
Penyerahan alat terbabit telah dilaksanakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian kepada Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, Asisten Komisioner Rosli Inai di Klinik Kesihatan Ibu Pejabat Briged Sarawak, hari ini.
Jelas Sim, sumbangan itu merupakan usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk menyokong keperluan logistik serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kesejahteraan anggota keselamatan.
“Kita mahu anggota pasukan keselamatan seperti PGA bukan sahaja menjaga keselamatan awam, tetapi juga memiliki keupayaan untuk bertindak pantas dalam situasi kecemasan perubatan.
“Sumbangan ini adalah simbol sokongan dan penghargaan kerajaan kepada jasa dan pengorbanan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tersebut.
Pada masa sama, beliau menegaskan agar latihan penggunaan AED dapat dilaksanakan secara berkala agar peralatan itu dapat dimanfaatkan dengan cekap dan berkesan.
Sementara itu, Rosdi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas keprihatinan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan anggota keselamatan yang sering bertugas di lapangan.
Terdahulu, turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Ku Majidi Che Ku Jusoh.
Mesin AED merupakan peralatan penting dalam menangani kes kecemasan seperti serangan jantung.
Ia direka untuk digunakan secara pantas oleh individu terlatih bagi memberi kejutan elektrik kepada jantung dan meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa sebelum ketibaan petugas perubatan.





