SIBU: Dalam era kehidupan moden yang serba pantas dan tekanan hidup kian meruncing, menjadikan kesihatan mental satu isu yang semakin membimbangkan.
Beban kerja yang tinggi, tekanan akademik, pengaruh media sosial, serta perubahan drastik dalam gaya hidup telah meningkatkan risiko kemurungan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mengesahkan realiti yang membimbangkan ini, apabila jumlah individu yang mengalami kemurungan di Malaysia meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.


Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng berkata, laporan itu menunjukkan kira-kira satu juta orang dewasa berumur 16 tahun ke atas, bersamaan 4.6 peratus populasi mengalami kemurungan, berbanding hanya setengah juta orang (2.3 peratus) pada 2019.
“Gangguan kesihatan mental sering bermula sejak usia muda. Separuh daripada kes kesihatan mental dikesan seawal usia 14 tahun, namun malangnya, banyak kes tidak dikenal pasti dan tidak menerima rawatan sewajarnya,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Sulitnya, Stanley Chiew pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Wad Psikiatri Hospital Sibu, baru-baru ini.
Kemurungan kini menduduki tempat ketiga sebagai penyebab utama beban penyakit dalam kalangan remaja, manakala bunuh diri menjadi punca kedua tertinggi kematian bagi individu berumur antara 15 hingga 29 tahun.
Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan dadah turut dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku berisiko seperti hubungan seksual tidak selamat dan pemanduan melulu, manakala gangguan makan juga semakin ketara dalam kalangan remaja.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tempoh remaja dan awal dewasa merupakan fasa kritikal dalam kehidupan, iaitu individu melalui perubahan besar seperti berpindah sekolah, meninggalkan rumah, memulakan pengajian di universiti, atau memasuki alam pekerjaan.
Jika tekanan ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh mencetuskan masalah kesihatan mental yang serius.
Bagi membantu individu mengurus tekanan harian dengan lebih baik, Alice Lau mencadangkan beberapa strategi berkesan.
Beliau menekankan bahawa aktiviti fizikal seperti berjalan kaki selama 30 minit sehari boleh memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental.
“Selain itu, pemakanan seimbang dan penghidratan yang mencukupi penting untuk menyokong fungsi otak, meningkatkan daya tumpuan, dan mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari,” tambah Ahli Parlimen Lanang itu.
Beliau turut menegaskan kepentingan mendapatkan tidur yang mencukupi, mengamalkan kesedaran minda, serta menetapkan matlamat hidup yang jelas.
“Mempunyai rangkaian sokongan yang sihat, berbincang dengan rakan-rakan yang berfikiran positif, serta mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan adalah langkah penting dalam memastikan kesejahteraan mental yang baik,” katanya.
Timbalan Pengarah Hospital Sibu, Dr. Rachel Teng Li Chin, dan Pengerusi Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sibu, Kapitan Lau Ik Yang antara yang



