KUCHING: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengkaji pelaksanaan beberapa mekanisme pengurusan pekerja asing yang diamalkan di Sarawak dan Sabah untuk disesuaikan di Semenanjung Malaysia bagi memperkemas sistem sedia ada.
Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pengurusan pekerja asing di kedua-dua negeri tersebut dilihat lebih tersusun kerana melibatkan kerajaan negeri dalam proses kelulusan.

“Pengurusan pekerja asing di kedua-dua negeri ini agak teratur dan mudah dilaksanakan kerana melibatkan kerajaan negeri dalam peringkat kelulusan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 Sarawak di sini, hari ini.
Azman berkata, KESUMA juga meneliti pengurusan pekerja asing daripada pelbagai aspek yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata keadaan di Semenanjung Malaysia lebih kompleks berikutan bilangan pekerja asing yang lebih ramai, melibatkan pelbagai negara sumber serta sektor pekerjaan yang berbeza.
“Insya-Allah, dengan perubahan yang berlaku susulan keputusan kerajaan baru-baru ini, kita dapat melaksanakan proses yang lebih strategik, lebih berkesan dan lebih cepat.
“Kita harap ia mampu memberikan kesan positif kepada sektor ekonomi negara,” tambahnya.
Untuk rekod, pengurusan pekerja asing di Sarawak dilaksanakan menerusi mekanisme negeri yang melibatkan proses kelulusan oleh kerajaan negeri sebelum permit kerja dikeluarkan mengikut prosedur ditetapkan.






