ARTIKEL

Kesuma Santubong gegar pentas budaya Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PEMINAT seni persembahan tempatan bakal disajikan dengan pementasan berskala besar apabila Teater Muzikal Kesuma Santubong dipentaskan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada 27 dan 28 Disember ini, bermula jam 8.00 malam.

Pementasan berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak (SIFAR), sebuah badan seni yang cukup dikenali dalam arena teater tempatan dan kebangsaan, sekali gus menjanjikan pengalaman seni yang menggabungkan emosi, budaya dan nilai warisan Bumi Kenyalang.

Kesuma Santubong merupakan karya dan arahan Jamshari Saili yang terkenal dengan sentuhan penceritaan berlapis serta penuh emosi.

Pementasan ini mengangkat semula legenda popular Sarawak, iaitu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang, menerusi pendekatan teater muzikal moden.

Melalui gabungan lakonan, nyanyian dan muzik, penonton akan dibawa menyelami konflik, keindahan serta pengajaran yang terkandung dalam kisah legenda tersebut, menjadikannya bukan sekadar hiburan, malah suatu perjalanan intelektual dan emosi.

Keistimewaan utama pementasan ini terletak pada pengisian muzik yang segar dan berani apabila lagu-lagu rakyat Sarawak yang semakin dilupakan diangkat semula ke pentas untuk diperkenalkan kepada generasi muda

. Lebih menarik, pementasan ini turut menampilkan lagulagu baharu hasil ciptaan bakat muda tempatan, Fitri Jeff, yang menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari bagi memberikan nafas baharu kepada muzik teater tempatan.

Menurut wakil jurucakap SIFAR, usaha ini bertujuan memastikan khazanah seni dan lagu rakyat Sarawak terus hidup serta relevan tanpa mengorbankan nilai estetika dan keaslian sejarahnya.

Gabungan melodi puitis, susunan muzik yang menyentuh jiwa serta penceritaan yang mendalam dijangka mampu meninggalkan kesan bermakna kepada penonton pelbagai peringkat usia.

Pengerusi SIFAR, Dr Suffian Jalet, sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan DBP Cawangan Sarawak untuk menghidupkan kembali aktiviti seni pentas tempatan secara berterusan.

Inisiatif persatuan seni seperti SIFAR ini turut mendapat sokongan positif daripada kerajaan negeri, khususnya melalui Majlis Seni Sarawak (MSS) yang menyokong sepenuhnya pementasan Kesuma Santubong.

Ditubuhkan pada 2006, SIFAR menghasilkan lebih 20 pementasan teater serta pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan, sekali gus membuktikan komitmen memartabatkan seni budaya Sarawak.

Kejayaan SIFAR turut terserlah apabila persatuan ini pernah menjuarai Festival Teater Malaysia Peringkat Sarawak sebanyak empat kali dan Festival Teater Malaysia Peringkat Kebangsaan sebanyak dua kali.

Pementasan Teater Muzikal Kesuma Santubong terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan kemasukan adalah percuma.

Namun demikian, orang ramai dinasihatkan agar hadir lebih awal memandangkan tempat duduk adalah terhad. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak (SIFAR).

BERITA LAIN

ANZALNA NASIR titip doa buat AMIRA

Pelakon Anzalna Nasir turut menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran rakan baiknya, pelakon dan penyanyi Amira Othman. Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Anzalna meluahkan

BERITA TERBARU