Kesusahan bukan halangan genggam kejayaan

KUCHING: Kesusahan bukan halangan untuk mencapai kejayaan malah ia dijadikan pendorong kuat buat pasangan kembar mencapai hasrat keluarga untuk mengenggam

Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi).

Abang Khairul Anwar Abang Majaya dan Abang Kharul Ridzduan Abang Majaya berusia 25 tahun, anak keenam dan ketujuh daripada lapan adik-beradik turut menerima Anugerah Khas Industri pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kuching Sarawak ke-27 semalam disaksikan ibu mereka, Dara Sahmina.

Kata kedua-duanya ketika ditemui, usaha dan kerja keras dari bawah membuat mereka berjaya mengecapi kejayaan dan memperoleh sijil diploma.

Kedua-dua pasangan kembar itu sudah bekerja. Khairul Anwar kini bekerja di Institut Kemahiran Mara Kuching sebagai penolong pegawai manakala Khairul Ridzduan bekerja di JKR Sri Aman sebagai pembantu kemahiran.

Sebagai pasangan kembar, mereka berdua belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama-sama ketika menuntut di Politeknik Kuching.

UNTUKMU IBU… Pasangan kembar Abang Khairul Risduan Abang Majaya (kiri) dan Abang Khairul Anwar Abang Majaya, penerima Anugerah Khas Industri bergambar bersama-sama ibunya Dara Sahminan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Ke-27 Kuching semalam.

Selain itu, Kharul Anwar merancang melanjutkan pelajaran dalam bidang elektrik tahap dua dan tiga dalam tiga tahun akan datang.

Dalam majlis sama, pelajar Macgregor Maram Mamat, 28 tahun dinobat penerima utama anugerah tertinggi iaitu Anugerah Pengarah bagi pelajar cemerlang Politeknik Kuching.

Macgregor berkata, kejayaannya adalah kerana pengurusan masa cekap dalam pelajaran dan aktiviti.

Dia membahagikan masa berdasarkan jadual waktu kelas dan meluangkan masa untuk diri sendiri.

Jelas Macgregor, dia mahu memperbaiki kehidupan keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Suara Sarawak