HARI ini orang ramai semakin menuntut kejelasan dalam setiap urusan, sama ada melibatkan wang, perniagaan atau keputusan penting.
Tidak cukup sekadar bergantung pada fail bercetak atau janji lisan.
Di sinilah blok rantai menjadi menarik kerana ia bukan sekadar teknologi untuk mata wang digital.
Ia sebenarnya satu sistem yang membolehkan semua rekod disimpan secara telus, tidak boleh diubah dan boleh disemak semula oleh sesiapa pada bila-bila masa.
Dengan kata lain, blok rantai menawarkan cara baharu untuk kita membina keyakinan, iaitu terus kepada sistem dan bukannya kepada individu.
Jika biasanya blok rantai dikaitkan dengan Bitcoin atau aset kripto lain, hakikatnya kegunaannya jauh lebih luas.
Ciri asasnya, iaitu desentralisasi, keselamatan data dan ketelusan, menjadikan teknologi ini sangat sesuai digunakan dalam tadbir urus.
Sama ada dalam urusan kerajaan, syarikat besar atau organisasi kecil, blok rantai berfungsi sebagai buku rekod digital yang terbuka kepada semua dan mustahil dimanipulasi tanpa dapat dikesan. Ambil contoh dalam proses perolehan, selalunya orang bimbang tentang ketelusan, terutama apabila melibatkan perbelanjaan besar.
Dengan blok rantai, setiap kontrak atau transaksi boleh direkodkan dalam sistem yang boleh diakses semula pada bila-bila masa. Ini bermakna semua pihak tahu ke mana wang dibelanjakan, siapa yang terlibat, dan bagaimana keputusan dibuat.
Hasilnya, lebih mudah untuk membina kepercayaan kerana maklumat tidak tersembunyi.
Dalam dunia korporat pula, blok rantai boleh digunakan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan pemegang saham.
Bayangkan mesyuarat agung tahunan yang membenarkan undian dijalankan secara digital, tetapi keputusan kekal sahih kerana disokong oleh blok rantai.
Begitu juga dengan laporan kewangan syarikat yang direkodkan dalam bentuk data blok rantai yang sukar dipertikai.
Semua ini mengurangkan jurang antara pengurusan dengan pihak yang berkepentingan.
Sudah tentu penggunaan blok rantai dalam tadbir urus masih ada cabaran.
Ia memerlukan pemahaman teknologi yang kukuh, kerangka undang-undang yang sesuai serta kesediaan organisasi untuk berubah.
Tetapi kelebihannya terlalu besar untuk diabaikan.
Dalam dunia yang semakin menuntut ketelusan, blok rantai boleh menjadi asas kepada sistem tadbir urus yang lebih jelas, adil dan dipercayai.
Di peringkat negeri, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) juga mula meneroka potensi teknologi blok rantai dalam pelbagai bidang termasuk perlindungan rekod kesihatan dan dokumen kerajaan.
Menurut Pengurus Besarnya, Datuk Dr. Anderson Tiong Ing Heng, blok rantai dilihat sebagai alternatif baharu kepada sistem konvensional seperti sijil pengesahan dan infrastruktur kunci awam.
“Blok rantai bukan hanya terhad kepada mata wang kripto.
Ia boleh diaplikasikan dalam pelbagai sektor termasuk perlindungan rekod dan dokumen kerajaan.
“Ini adalah antara bidang yang sedang kami terokai melalui kajian serta penyelidikan,” katanya pada sidang media Borneo Blockchain Conference (BBC) 2025 di Kuching.
Beliau menjelaskan, sistem sedia ada sememangnya mempunyai ciri perlindungan data yang baik, namun blok rantai menawarkan pendekatan tambahan yang telus dan sukar diubah suai.
“Konvensional seperti sijil PKI berfungsi dengan baik, tetapi blok rantai ialah penyelesaian alternatif yang boleh dipertimbangkan untuk masa depan,” jelasnya lagi.
Anderson berkata, penerokaan awal ini penting bagi memastikan Sarawak tidak ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi digital yang semakin berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
Malah, persidangan sulung BBC 2025 itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, sekali gus menandakan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap teknologi digital baharu.
Persidangan itu dijangka menjadi platform penting kepada pemain industri, akademik serta pengawal selia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penggunaan blockchain.
Di peringkat global, banyak negara menggunakan teknologi ini bagi tujuan rasmi dan Sarawak mahu mengambil langkah awal agar tidak terpinggir.
Sementara itu, Presiden Persatuan Teknologi Blok Rantai Kuching Blockchain, James Gan berkata, masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa blok rantai hanya berkaitan dengan kripto atau penipuan dalam talian.
“Ketika kami memulakan perjalanan ini tiga tahun lalu, ramai menyangka blok rantai hanya berkaitan dengan penipuan atau kecurian elektrik.
“Tetapi kita lupa tentang manfaat sebenar teknologi ini yang telah diiktiraf di banyak negara,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan blockchain di negara seperti Singapura dan Korea Selatan membuktikan teknologi itu mampu memberi impak positif dalam sektor awam mahupun swasta.
Antara aplikasi yang sudah diterapkan termasuk pengenalan digital, pensijilan, tokenisasi aset sebenar, rantaian bekalan, pensijilan halal serta pengesahan sijil universiti.
James menegaskan, keunikan blockchain yang telus, kekal dan terdesentralisasi menawarkan kelebihan berbanding teknologi berpusat yang digunakan kini.
“Sudah tiba masanya kita tidak ketinggalan daripada trend global ini.
BBC 2025 ialah titik permulaan untuk kita membangunkan ekosistem blockchain di Sarawak,” ujarnya.
Beliau yakin, melalui kerjasama erat antara industri, akademik dengan pihak berkuasa, Sarawak dapat mewujudkan persekitaran blockchain yang selamat serta diyakini.
“Dengan ekosistem yang kukuh, kita bukan sahaja dapat mengurangkan penipuan, malah memberi tumpuan kepada penggunaan sebenar teknologi blockchain demi manfaat rakyat dan ekonomi negeri,” tegasnya.



