KUCHING: Setiap ketua jabatan dan pegawai penyelia perlu menjadi teladan dalam melaksanakan amanah, membuat keputusan serta membentuk budaya kerja dalam organisasi masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sebagai jentera utama pelaksana dasar kerajaan, Perkhidmatan Awam Sarawak memikul tanggungjawab untuk menterjemahkan aspirasi kepimpinan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, kejayaan sesuatu dasar bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang baik, tetapi turut ditentukan oleh pelaksanaan yang cekap, efisien dan berintegriti.
“Bagi perkhidmatan awam, integriti dizahirkan melalui amalan kerja harian, termasuk pematuhan kepada peraturan, pengurusan sumber secara berhemah, pengurusan kewangan dan perolehan secara telus serta penyampaian perkhidmatan yang profesional.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, setiap keputusan hendaklah bebas daripada konflik kepentingan peribadi tetapi mengutamakan kepentingan awam,” katanya berucap pada Sambutan Hari Integriti 2026 (HIS 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada masa yang sama, beliau berkata kecekapan dan pematuhan perlu bergerak seiring.
Katanya, prosedur diwujudkan untuk melindungi kepentingan awam, namun tidak seharusnya menjadi penghalang kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap.
“Pemantauan juga perlu dilaksanakan secara berterusan agar sebarang kelewatan, peningkatan kos atau kelemahan mutu kerja dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Abu Bakar berkata, seramai 208 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang telah dilatih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi antara penggerak utama dalam memperkukuh pembudayaan integriti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Beliau berkata, peranan CeIO penting dalam membantu mengenal pasti risiko, memperkukuh kawalan dalaman, memberi pandangan profesional serta memastikan nilai integriti diterapkan dalam amalan kerja seharian.
“Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) juga sedang dalam proses membangunkan Integrity Intelligence Management System atau I-Integrity bagi memantapkan fungsi dan peranan CeIO serta Unit Integriti,” katanya.
Menurutnya, sistem berkenaan merupakan satu kerangka tadbir urus yang komprehensif, bersepadu dan berasaskan teknologi bagi memperkukuh integriti, akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan awam.
“Usaha pemantapan integriti turut diperkukuh melalui pelaksanaan Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) dan Modul Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembudayaan integriti bukan hanya tertumpu kepada sektor awam, sebaliknya ia memerlukan penglibatan menyeluruh daripada kerajaan dan masyarakat.
“Penjenamaan semula MAP-I kepada Hari Integriti Sarawak, agenda pembudayaan integriti kini lebih meluas melalui penglibatan komuniti yang lebih menyeluruh.
“Dahulu, ia hanya melibatkan perkhidmatan awam, tetapi kini, penglibatan komuniti turut merangkumi institusi pendidikan, kepimpinan akar umbi termasuk ketua masyarakat, ketua kaum dan generasi muda,” jelasnya.
Datuk Amar berkata, tema ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ menggambarkan kemakmuran negeri yang bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi dan kemajuan infrastruktur, sebaliknya berpaksikan kekuatan nilai integriti dalam pentadbiran.
“Integriti, walaupun tidak dapat dilihat secara fizikal, tetapi nilai tambah integriti dapat diterjemahkan melalui cara kita membuat keputusan, mengurus sumber awam, melaksanakan projek pembangunan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam memainkan peranan penting sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan kesejahteraan rakyat.
“Menggalas tugas tersebut menuntut anggota Perkhidmatan Awam untuk memastikan dasar dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan,” ujarnya.
Seramai 3,000 orang menghadiri sambutan tersebut secara fizikal dan dianggarkan 9,000 orang secara maya.






