HAMILTON: Dalam amaran keras terhadap operasi ketenteraan di bandar Rafah, selatan Gaza, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Selasa menggesa “mereka yang mempunyai pengaruh ke atas Israel” agar menghalang lebih banyak kematian dan perpindahan orang awam selanjutnya.
“Serangan tentera ke atas Rafah akan menjadi peningkatan yang tidak tertanggung, membunuh ribuan lagi orang awam dan memaksa ratusan ribu melarikan diri,” kata Guterres pada sidang akhbar, lapor Agensi Anadolu.
Ketua PBB itu menegaskan serangan tentera bukan sahaja akan memberi “impak buruk kepada rakyat Palestin di Gaza” tetapi juga kesan yang ketara di seluruh rantau itu.
Guterres menekankan keadaan yang semakin buruk di Gaza selepas 7 Oktober dan berkata, gesaan konsisten beliau untuk “gencatan senjata kemanusiaan, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan dan lonjakan besar dalam bantuan kemanusiaan” masih tidak didengar.
“Demi rakyat Gaza, demi tebusan dan keluarga mereka di Israel dan demi rantau ini dan dunia yang lebih luas, saya amat menggalakkan kerajaan Israel dan kepimpinan Hamas mencapai persetujuan,” katanya.





