SEOUL, Korea Selatan: Ketua Pegawai Strategi OpenAI, Jason Kwon, hari ini menepis kebimbangan tentang perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang pesat tanpa kawalan.
Menurutnya, manusia dijangka akan terus menguasai dan mengawal AI.
Pada satu forum AI di sini, Kwon berkata bahawa mencari cara untuk manusia mempunyai kawalan ke atas AI adalah perkara yang menjadi ”teras keselamatan AI”.
“Tetapi dalam hal kerja sebenar, untuk memahami bagaimana sistem ini berfungsi dan bagaimana mengawalnya, perkara yang kami dapati sebenarnya ialah apabila sistem ini menjadi lebih berkemampuan, ia juga menjadi lebih mudah dikawal dalam banyak cara,” kata Kwon, menurut agensi berita Yonhap.
Kwon berkata OpenAI sedang berusaha untuk mewujudkan rangka kerja di mana negara-negara boleh menentukan bagaimana sistem ini boleh mencerminkan nilai budaya masing-masing.
“Salah satu perkara yang sentiasa kami fikirkan adalah bagaimana kami, sebagai pemaju model, dapat masuk ke dalam setiap negara, menyediakan peralatan kami dan membuatkan sesuatu tempat itu merasakan bahawa model berkenaan adalah untuk mereka,” katanya.
Berhubung pandangan bahawa gelembung AI akan pecah, Kwon berkata beliau optimis tentang masa depan AI.
Beliau percaya teknologi itu akan mengikuti laluan yang sama seperti Internet, yang kini menjadi alat penting untuk manusia.
“Kita masih berada pada peringkat awal.
“Kita mempunyai lebih 50 juta orang di Korea Selatan, dan pada ChatGPT sendiri, kita hanya mempunyai sejuta pengguna aktif harian.
“Malah di Amerika Syarikat, saya rasa kurang daripada 20 peratus populasi di sana telah mencuba alat berkenaan,” katanya. – BERNAMA-YONHAP



