SRI AMAN: Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab menyerahkan 10,000 topeng penutup hidung dan mulut kepada APM Daerah Sri Aman untuk diagihkan kepada semua sekolah di daerah ini.
Ia diserahkan semasa beliau mengadakan lawatan sulung ke APM Daerah Sri Aman tengah hari tadi.
Roslan ke Sarawak bersempena sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Kuching esok.
Ketibaan individu nombor satu APM itu sekitar 1:20 petang disambut oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim serta anggota sukarela.
Rata-rata melahirkan rasa berasa amat bertuah kerana Roslan sanggup turun padang bagi melihat sendiri keperluan logistik dan kebajikan anggota serta situasi semasa bencana jerebu di Bahagian Sri Aman.
Sebelum berangkat pulang 4:00 petang tadi, beliau sempat singgah di Muzium Warisan Sri Aman (Kubu Alice) yang terletak di tebingan Batang Lupar.
Hadir sama Timbalan Pengarah APM Lt. Kol(PA) Cutbert John Martin Quadra, Penolong Pengarah Bahagian Latihan Ibu Pejabat Pertahanan Awam Lt. Kol (PA) Shahrul serta pegawai-pegawai kanan APM Sarawak.



