ARTIKEL

Keutamaan kepada teknologi tinggi, pelaburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memulakan misi perdagangan dan pelaburannya ke Amerika Syarikat (AS) dari 6 hingga 13 November, meliputi bandar Chicago, Seattle dan San Francisco.

MITI dalam kenyataan semalam berkata, misi itu diketuai oleh Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mulai 8 November dan seterusnya, dengan wakil peringkat tinggi daripada kementerian dan agensinya, iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Keutamaan misi itu ialah teknologi tinggi, pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi serta eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia, kata kenyataan itu.

Pertemuan perniagaan diatur dengan syarikat dalam sektor seperti aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik (E&E) termasuk semikonduktor, farmaseutikal, teknologi bateri kenderaan elektrik (EV), peralatan perubatan, sains hayat, perkhidmatan awan dan logistik.

“Ia adalah sektor yang dijangka meningkatkan kerumitan ekonomi pembuatan Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi membantu menjana limpahan perniagaan dengan nilai lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita serta kualiti lebih baik, pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat,” menurut MITI.

Misi itu turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat utama termasuklah Abbott Laboratories, Amazon Web Services, Amsted Rail, Boeing, Canadian Tire Corporation, Ford Motor Company, Global Agri-Trade Corporation, Hematogenix, Lam Research, Mondelez International, Nvidia, PerkinElmer dan Unigen Corporation.

Menurut MITI, bersempena dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco dari 14 hingga 18 November, turut diadakan pertemuan perniagaan yang diatur dengan wakil peringkat tinggi daripada syarikat seperti Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU