ARTIKEL

Kewajiban guna pelitup muka tidak dapat dipraktikkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dikenakan terhadap kawasan awam yang penuh sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dipraktikkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pelitup muka digunakan dengan meluas oleh pengguna pengangkutan awam dan kerajaan kini melihat untuk menguatkuasakan peraturan ini secara berperingkat.

“Mulanya, pelitup muka (diperkenalkan) untuk pengangkutan awam. Sekarang kami melihat kepada tempat awam terutamanya kawasan awam yang terlalu sesak.

Bukannya tempat awam seperti tempat parkir kereta yang ada penjarakan sosial. Isunya apabila tiada penjarakan sosial dalam kawasan awam yang penuh sesak,” kata beliau dalam satu sesi libat urus bersama media di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan juga sedang melihat tempoh tangguh selama sebulan sebelum menguatkuasakan peraturan ini sepenuhnya bagi memastikan setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka

“Yang miskin dan memerlukan mesti juga diberikan pelitup muka. Jadi, sekiranya setiap orang mempunyai akses kepada pelitup muka maka mungkin selepas PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), kami pasti akan menguatkuasakannya,” kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata selain daripada memakai pelitup muka, orang ramai perlu juga mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan COVID-19.

Pada 23 Julai lepas, kerajaaan mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan ramai dan pengangkutan awam akan diwajibkan bermula 1 Ogos ini.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah menyaring seramai 949,141 individu sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada Januari, dan daripada jumlah itu 8,943 orang disahkan positif.

“Jumlah kes sembuh pula adalah 8,607 atau 96.24 peratus manakala jumlah kematian akibat COVID-19 ialah 124,” katanya.

Katanya hampir separuh kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif.

“Sebanyak 4,559 kes positif dikesan dari PUI manakala 3,375 kes adalah daripada Kluster Perhimpunan Sri Petaling.

Sehingga kini KKM turut merekodkan 751 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 258 kes dikesan hasil daripada aktiviti surveilan,” katanya.

Wabak maut yang bermula di Wuhan, China pada Disember tahun lalu, sehingga kini telah menjangkiti 16.49 juta individu seluruh dunia dan mengakibatkan 654,327 kematian.– BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Projek ART Kuching Jadi Rujukan

KUCHING: Projek Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching menjadi antara projek rujukan utama luar negara bagi China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) dalam usaha memperluas penggunaan