TEKNOLOGI Kecerdasan Buatan (AI) kini menjadi antara tonggak utama dalam landskap digital global, termasuk dalam bidang kewartawanan.
Namun begitu, AI hanyalah alat, manakala manusia tetap penggerak utamanya.
Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Ainol Amriz Ismail, dalam ucapannya sempena dalam landskap digital global, termasuk dalam bidang kewartawanan.
Namun begitu, AI hanyalah alat, manakala manusia tetap penggerak utamanya.
Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Ainol Amriz Ismail, dalam ucapannya sempena Persidangan Media Sarawak 2025 (SMEC) yang berlangsung baru-baru ini di Hotel Sheraton, Kuching.
Menurut beliau, AI tidak mampu menggantikan sepenuhnya fungsi wartawan manusia, terutama dalam tugasan yang melibatkan analisis mendalam, penulisan naratif, dan penyiasatan yang menuntut pertimbangan moral serta pemahaman konteks sosial dan budaya.
“Sehebat mana pun AI, ia tetap kekurangan kepekaan emosi dan nilai kemanusiaan yang diperlukan dalam dunia kewartawanan.
“Hanya wartawan manusia mampu menilai apa yang patut dilaporkan, bagaimana ia dilaporkan, dan memastikan ia tidak menyinggung sensitiviti masyarakat,” ujar beliau.
Di samping itu, jelasnya, dunia kewartawanan kini berada di persimpangan besar.
AI telah menjadi sebahagian penting dalam ekosistem media, yang bukan sahaja membantu dari segi penyelidikan kandungan dan penulisan automatik, tetapi juga dalam penjanaan grafi k, analisis data besar, serta penyusunan kandungan berdasarkan trend dan minat pengguna.
“Statistik menunjukkan hampir 100 peratus institusi media dan perniagaan sudah mengaplikasikan teknologi ini dalam operasi harian mereka.
“Namun, kebergantungan mutlak kepada AI ialah satu kesilapan.
Walaupun AI mempercepatkan proses dan meningkatkan kecekapan, AI tidak mampu memahami konteks budaya, bahasa tempatan, dan emosi yang menjadi tunjang kepada kewartawanan beretika,” jelas beliau lagi.
Beliau mengakui bahawa antara cabaran terbesar dalam penerapan AI ialah risiko atau kecenderungan yang timbul apabila data yang digunakan untuk melatih sistem AI bersifat tidak lengkap atau berat sebelah.
“Apabila input data sudah cenderung ke arah tertentu, kandungan yang dihasilkan turut mempamerkan kecenderungan yang sama.
Keadaan ini boleh menjejaskan objektiviti dan mencemarkan kepercayaan masyarakat terhadap media.
“Justeru, semua wartawan diseru agar mengamalkan prinsip 3R kewartawanan, iaitu Realiti, Relevansi dan Rujukan yang tepat, sebagai panduan asas sebelum menyiarkan apa-apa laporan, terutamanya yang dibantu oleh teknologi AI,” katanya.
Dalam pada itu, Ainol turut menyentuh mengenai kemerosotan tahap kepercayaan masyarakat terhadap media arus perdana, yang menjadi satu cabaran besar dan perlu ditangani dengan segera serta bersungguh-sungguh.
Justeru, beliau menegaskan bahawa wartawan bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi turut berperanan sebagai penjaga amanah dan pencorak persepsi awam.
“Tugas utama wartawan hari ini ialah memulihkan keyakinan masyarakat bahawa berita yang disiarkan adalah sahih, seimbang dan bertanggungjawab.
Kita mesti mengembalikan etika dan integriti ke tempat tertinggi dalam profesion ini.
“Media Malaysia dilancarkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal media tentang kepentingan mematuhi garis panduan etika dan undang-undang, khususnya dalam era media sosial yang pantas dan tidak menentu,” jelas beliau.
Dalam pada itu, persoalan mengenai nasib media cetak turut dibangkitkan semasa sesi soal jawab.
Dalam era dominasi media digital, isu sama ada masih wujud ruang untuk surat khabar fi zikal terus menjadi perbincangan.
Jawapan Ainol sangat jelas, media cetak masih relevan jika mampu menyesuaikan diri.
“Media cetak harus beralih daripada laporan segera kepada penulisan analisis mendalam, ulasan pemikiran, dan kandungan eksklusif.
Jika tidak berubah, ia pasti akan terus ditinggalkan,” katanya.
Selain itu, katanya, media cetak masih mempunyai nilai dalam kalangan pembaca yang menghargai keaslian dan pengalaman membaca secara fi zikal, terutamanya di kawasan luar bandar atau dalam kalangan warga emas.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penularan maklumat palsu serta kandungan manipulatif yang tersebar menerusi platform seperti TikTok dan YouTube.
Kandungan sebegini sering tidak melalui proses semakan fakta dan boleh memberikan kesan negatif kepada masyarakat.
“Kita mungkin tidak mampu mengawal apa-apa yang tersebar di media sosial, tetapi kita boleh mengawal kualiti kandungan yang kita hasilkan.
Jika kita konsisten menyampaikan maklumat yang benar, bebas bias dan beretika, masyarakat akan kembali mempercayai media tempatan,” ujarnya.
Oleh itu, jelasnya, AI ialah peluang, bukan ancaman, asalkan ia digunakan secara berhemah dan beretika.
Wartawan perlu celik teknologi dan memanfaatkannya untuk meningkatkan mutu laporan, tetapi jangan sesekali menyerahkan kawalan sepenuhnya kepada mesin.
“Selagi manusia menguasai teknologi dan bukan sebaliknya, AI tidak akan mengambil alih kewartawanan.
Masa depan media terletak di tangan kita dengan bimbingan nilai-nilai kemanusiaan,” tegas beliau.



