ARTIKEL

BAHAN asas yang diperlukan untuk menyediakan sirih pinang.

KHASIAT SIPUT SEDUT

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RAMADAN lalu, saya ber-sama-sama dua sahabat berpeluang berbuka puasa di Restoran Muzium Budaya Borneo.

Terdapat pelbagai jenis hidangan berbuka puasa yang disediakan oleh pihak restoran dan antara makanan yang me-narik perhatian saya dan seorang lagi sahabat ialah siput sedut.

Sebenarnya, masakan berasaskan siput sedut ini sangat jarang ditemui di restoran mahupun kedai makan di sekitar Kuching.

Hari itu, terdapat dua jenis hidangan siput sedut disediakan dan ia secara langsung mengubat rindu saya terhadap lauk kampung.

Ibu saya sering menyediakan hidangan ini kepada kami di kampung.

Daya tarikan memakan siput sedut ini terletak pada cara ia dimakan. Ia tidak memerlukan garpu atau sudu.

Angkat siput kecil itu, letakkan hujung runcingnya ke bibir dan sedut.

Dengan sedikit sedutan yang kuat, isi siput sedut akan keluar. Selain memiliki rasa yang unik, manfaat siput sedut juga banyak. Antaranya kaya dengan kandungan zat besi.

Berdasarkan dapatan, siput sedut ialah sumber protein yang baik dan mengandungi mineral penting seperti kalsium, magnesium serta zat besi.

Maka, ini menjadikannya bermanfaat untuk membina dan memperbaiki tisu badan serta menyokong kesihatan tulang dan imuniti.Selain itu, kelebihan lain siput sedut ialah rendah kalori dan sesuai untuk mereka yang sedang mengamalkan gaya hidup sihat.

Manfaat siput sedut juga mengandungi asid lemak omega-3 yang tinggi. Asid lemak omega-3 mampu menurunkan kadar trigliserida yang terlalu tinggi.

Kadar trigliserida yang tinggi berisiko menyebabkan pelbagai masalah jantung seperti pengerasan pembuluh arteri dan serangan jantung.

Selama ini, selepas makan siput sedut ini, saya akan membuang cengkerangnya. Namun baru-baru ini, saya mendapat tahu bahawa cengkerang siput sedut yang berwarna gelap seperti hitam atau coklat tua itu ada kegunaannya!Ceritanya bermula begini.
Pada Ramadan lalu, kedua-dua ibu bapa saya berada di rumah panjang kami di Long Apu, Ulu Baram.

Pada suatu pagi, ketika saya membuat panggilan video kepada ibu, saya kebetulan melihat ibu saudara saya duduk bersila sambil menyediakan bahan-bahan untuk sirih pinangnya di belakang ibu.

Melihat ibu saudara saya mengunyah sirih pinang bukan perkara asing dalam keluarga saya. Dia antara individu dalam keluarga ibu yang sangat setia mengunyah sirih pinang tanpa mengira di mana-mana dia berada.

Bahkan, ibu saudara saya mempunyai beg khas untuk membawa semua bahan yang diperlukan dan sentiasa dibawa bersama.

Enggan menganggu perbualan ibu dengan adik bongsunya, saya menghubungi ibu beberapa jam kemudian.

Ketika menunggu masa sesuai untuk menghubungi ibu semula, tiba-tiba timbul persoalan di fikiran iaitu bagaimana ibu saudara saya memperoleh stok kapur untuk disapu di atas daun sirihnya? Ini kerana kampung saya sangat jauh dari bandar dan perjalanan untuk ke sana juga boleh mengambil masa sehingga sehari memandangkan jalan rayanya tidak sempurna.

Maka, saya bertanya akan hal tersebut kepada ibu yang kebetulan berada di kampung ketika itu.Menurut ibu, adiknya yang mesra dipanggil Aunty Aeot akan membuat stok kapurnya daripada cengkerang siput sedut!

Mendengar maklumat tersebut, tidak pernah terbayang di fikiran bahawa haiwan kecil yang hidup di kawasan air payau dan lumpur paya bakau ini sangat berguna — daripada isi hingga cengkerangnya.

Bagaimana dia membuat kapur tersebut? Memperoleh kapur atau dalam bahasa Kenyah dipanggil apo untuk disapu di atas daun sirih, bukan satu kekangan kepada penduduk kampung kerana mereka pandai membuatnya.

Kata ibu, cara membuat apoini agak susah.

Pertama sekali, cengkerang siput sedut yang sudah dimakan akan dikeringkan untuk suatu tempoh.

Selepas itu, ambil batang buluh yang sudah matang dari hutan dan belah kepada beberapa kepingan. Beberapa batang buluh diperlukan kerana ia adalah antara bahan utama untuk menyediakan apo.

Setiap keping batang buluh yang sudah dibelah itu akan diapitkan rapat bersama. Unggun api akan dihidupkan dan kepingan buluh tersebut akan diletakkan di atas bara api.

Di atas sususan batang buluh tersebut, letakkan cengkerang siput sedut yang sudah dibersihkan di tengah-tengahnya dan apitkan dengan kepingan buluh diatasnya.

Bakar buluh tersebut sehingga hangus menggunakan bara api secara perlahah.

Kita harus membakar cengkerang itu sehingga ia bertukar berwarna putih dan menjadi serbuk. Mengapa buluh digunakan? Ini kerana arang buluh itu tidak akan menjejaskan apo tersebut berbanding menggunakan kayu biasa.

Sekiranya ingin makan sirih pinang, serbuk putih itu akan dicampurkan dengan sedikit air sebelum sapu ia di atas daun sirih.

Ibu mendedahkan, ilmu pengetahuan membuat apo ini telah diperturunkan daripada mendiang moyangnya kepada anak-anak sebelum diturunkan kepada dan cucu-cucunya (Aunty Aeot).

Nah, ini kegunaan cengkerang siput sedut yang mungkin ramai tidak tahu termasuk saya sendiri. Selepas ini, saya akan berkongsi cerita mengenai daun sirih pula.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai